SEREMBAN, 23 November 2023 – Seramai 5 orang pelajar Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Alam Sekitar (AM226) dari Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi (FSPPP), UiTM Kampus Seremban telah menyertai pertandingan Annual Inter College Environmental Public Speaking Competition 2023. Pertandingan peringkat antarabangsa tersebut merupakan anjuran Emirates Environmental Group (EEG), sebuah Pertubuhan NGO Alam Sekitar yang berpusat di United Arab Emirates.
Pertandingan tersebut telah dijalankan secara atas talian dan disertai oleh pelajar dari pelbagai universiti diseluruh dunia. Ini termasuklah Universiti Teknologi MARA (UiTM), Hashemite University dari Jordan, An-Najah National University dari Palestine dan Sohar University dari Oman. Tujuan utama pertandingan ini adalah untuk menggalakkan para pelajar diperingkat universiti untuk menyuarakan pendapat dan idea masing-masing berkaitan pelbagai isu alam sekitar dan memberikan cadangan penyelesaian kepada permasalahan tersebut. Seterusnya, pertandingan ini bakal menjadi platform yang dapat meningkatan kesedaran masyarakat global tentang pentingnya penjagaan alam sekitar.
Wakil tunggal dari FSPPP ini telah menyampaikan pengucapan awam yang bertajuk “The Omnipresent Microplastic: The Unseen Pandemic”. Intipati utama mereka adalah dengan menekankan kepada punca pencemaran yang terhasil dari mikroplastik dan solusi kepada masalah tersebut. Secara keseluruhannya, peserta dari UiTM ini telah menghubung-jalinkan lima Matlamat Pembangunan Mampan atau SDG yang utama iaitu SDG4 (Quality Education), SDG12 (Responsible Consumption and Production), SDG13 (Climate Action), SDG14 (Life Below Water), SDG15 (Life on Land).
Meskipun tidak beroleh sebarang kejayaan, penyertaan pelajar AM226 kepertandingan ini telah memberi peluang kepada keterlihatan (Visibility) FSPPP dan UiTM melalui pertandingan diperingkat antarabangsa. Namun yang paling penting, pertandingan ini telah berjaya menghasilkan pelajar UiTM yang berkeyakinan tinggi dan cakna untuk sama-sama mewujudkan alam sekitar yang lebih lestari.