Amanat Rektor UiTM Cawangan Sabah Tahun 2024

KOTA KINABALU, 26 Februari 2024 – Amanat Rektor UiTM Cawangan Sabah telah berlangung di Dewan Tun Mustapha, Ujana Sarjana, UiTM Cawangan Sabah.   Pada kali ini, dalam melaksanakan langkah penjimatan dan mendepani arus teknologi serta ke arah digitalisasi, Amanat Rektor dilaksanakan secara hybrid.  Seramai 300 staf telah menghadiri Amanat Rektor UiTM Cawangan Sabah secara fizikal dan selebihnya secara dalam talian termasuk Warga UiTM Cawangan Sabah, Kampus Tawau.

Yang Berusaha Rektor UiTM Cawangan Sabah, Profesor Madya Dr Rozita @ Uji Mohammed, memulakan amanat dengan penghargaan setinggi – tinggi terima kasih kepada semua Warga UiTM Cawangan Sabah di atas sumbang bakti, ucapan tahniah di atas kejayaan dan anugerah pengiktirafan  yang berjaya diraih.  Sorotan poster dan kejayaan warga UiTM Cawangan Sabah turut dipaparkan sebagai menghargai dan memberi semangat kepada warga UiTM Cawangan Sabah untuk terus cemerlang di masa akan datang.

Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat.  Warga UiTM Cawangan Sabah diminta untuk bekerjasama bersatu padu dalam satu kumpulan dalam mencapai matlamat organisasi dan memacu kecemerlangan kampus.  Beberapa pelan tindakan jangka masa pendek dan panjang telah dikongsikan bersama Warga UiTM Cawangan Sabah dan hala tuju ini dicakna beserta pelan perbatuan yang lengkap bagi memastikan semua warga UiTM Cawangan Sabah memahami hala tuju univeristi dan menjalankan amanah, tanggungjawab dan kecemerlangan kampus secara kolektif.

Begitu juga firman Allah SWT:

وَٱلَّذِينَ هُمْ لِأَمَـٰنَـٰتِهِمْ وَعَهْدِهِمْ رَٰعُونَ

Maksudnya: “Dan orang-orang yang menjaga amanah dan perjanjiannya”

{Ayat 8, Surah Al-Mu’minun, Al-Quran}

Yang Berusaha Rektor berpesan kepada Warga UiTM untuk menitik beratkan nilai ESI (Excellence, Synergy, Integrity) dan iDART (Ilmu, Disiplin, Amanah, Rajin, Tanggungjawab) dalam pelaksanaan tugas seharian.   Menjaga amanah ni memang sangat dituntut dalam agama Islam.  Nabi Muhammad SAW sendiri mengajarkan kepada umatNya untuk sentiasa bersifat amanah dalam kehidupan.  Sifat amanah ini pula bukan sekadar bersifat jujur dalam percakapan dan perbuatan. Tetapi, ia juga mencakupi amanah dalam melaksanakan sesuatu tugas atau tanggungjawab yang diberikan.

Istimewanya pada kali ini, sempena 200 hari mentadbir sebagai Rektor UITM Cawangan Sabah, pelancaran Buletin 200 Hari Mentadbir Rektor UiTM Cawangan Sabah: PMDRUM Mutiara dari Borneo (Pearl of Borneo) di bahagian penutup Amanat Rektor dan video aktiviti sepanjang tahun 2023 turut ditayangkan bagi mengimbau memori dan memberi pengiktirafan kepada warga.  Amanat Rektor turut dihadiri Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik (HEA), Profesor Ts. Dr Imbarine Bujang, Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar (BHEP), Dr. Dg. Ku Habibah Ag Kee, Timbalan Rektor Penyelidikan, Jaringan, Industri, Masyarakat dan Alumni (PJIMA), Dr Viduriati Sumin, Timbalan Pendaftar Kanan, Puan Aminah Aman dan  ahli Jawatankuasa Eksekutif Negeri (JKEN) UiTM Cawangan Sabah.