Aksesibiliti vs Covid-19: Apa Harapan OKU?

Poster webinar yang telah dianjurkan pada 5 Disember 2020

Persatuan Advokasi Kecederaan Saraf Tunjang Malaysia atau lebih dikenali sebagai MASAA (Malaysian Spinal Cord Injury Advocacy Association) telah mengadakan webinar bertajuk ‘Aksesibiliti vs Covid-19: Apa Harapan OKU?’ pada 5 Disember 2020. MASAA mengambil inisiatif untuk menganjurkan seminar ini sebagai salah satu aktiviti Bulan Kesedaran OKU dan bersiaran secara langsung dari FB Live MASAA.

Sesi webinar secara bual bicara ini dikendalikan oleh moderator, Puan Hamidah Hassan, Timbalan Pengerusi MASAA bersama ahli panel dari Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur, Sr Hikmah Kamarudin, yang juga merupakan Penasihat Aksesibiliti MASAA. Panel kedua, Ar Mumtazah Mustajab, merupakan seorang Council Member di dalam Pertubuhan Arkitek Malaysia yang mempengerusikan Community & Social Responsibility Committee. Dalam perancangan awal, Pengerusi MASAA, Encik Mohd Rizal Mat Noor dijadualkan menyertai webinar ini mewakili golongan OKU untuk membawa isu-isu aksesibiliti yang sering ditempuhi dalam rutin harian OKU. Namun, beliau terpaksa menarik diri di saat akhir kerana pemergian bapanya ke rahmatullah pada hari tersebut; insan yang banyak berjasa kepada beliau sepanjang berstatus OKU.

Moderator mengangkat isu aksesibiliti alam bina yang berkait rapat dengan hak OKU dan mengaitkan isu aksesibiliti sewaktu pandemik. Moderator turut menekankan masalah aksesibiliti OKU, antara contohnya apabila OKU bermasalah mobiliti berhadapan dengan pintu masuk bangunan yang bertangga, kecerunan ramp yang terlalu curam bagi pengguna berkerusi roda dan ketiadaan tactile block bagi kemudahan OKU penglihatan. Bersetuju dengan situasi yang dihadapi OKU, ahli panel bersependapat bahawa terdapat hikmah di sebalik musibah Covid-19 ini di mana peluang pekerjaan, perniagaan, pembelajaran dan sebagainya menjadi munasabah dilakukan secara maya yang mana turut memudahkan OKU. Namun, kedua-dua ahli ahli panel tidak menafikan bahawa aksesibiliti secara fizikal masih merupakan keutamaan dalam merekabentuk bangunan dan ruang awam di Malaysia.

Webinar ini turut membicarakan mengenai definisi aksesibiliti mengikut kajian-kajian akademik yang telah dijalankan serta pandangan arkitek profesional dari sudut implementasi aksesibiliti di Malaysia. Dari sudut akademik, Sr Hikmah menyatakan, “Bila dikaitkan aksesibiliti dengan OKU, perlu dilihat maksud ketidakupayaan atau disability dari model berbeza”. Antara model ketidakupayaan yang dinyatakan adalah dari model charity/welfare, model medical, model sosial dan model moral/keagamaan. Model moral merupakan model tertua yang melihat ketidakupayaan itu adalah dari tuhan dan terdapat juga kepercayaan bahawa ‘kecacatan’ sebagai balasan terhadap sesuatu perbuatan yang individu tersebut atau keluarganya telah lakukan. Manakala dua model paling utama hangat dibincangkan di kalangan ahli akademik adalah model medikal dan model sosial. Model medikal melihat ketidakupayaan berpunca dari individu yang mengalami impairment dan individu tersebut yang perlu dipulihkan atau ‘dibaiki’. Model sosial pula melihat bahawa masyarakat dan persekitaran yang membuatkan seseorang individu itu berupaya atau tidak berupaya untuk melakukan sesuatu. Maka, menurut model sosial ini, masyarakat jugalah yang perlu memperbaiki keadaan untuk mengupayakan dan memberdayakan OKU.

Sambil menjawab soalan-soalan yang diajukan moderator, Ar Mumtazah sempat membentangkan mengenai tujuh prinsip rekabentuk sejagat atau universal design berserta contoh-contoh aplikasinya di dalam kehidupan seharian, yang bukan sahaja khusus untuk rekabentuk bangunan. 7 prinsip rekabentuk sejagat merangkumi: equitable use; flexibility in use; simple and intuitive use; tolerance for error; low physical effort; size and space for approach and use. Ar Mumtazah memaklumkan bahawa Pertubuhan Arkitek Malaysia sentiasa berusaha untuk memastikan ahli-ahlinya mempunyai kesedaran yang tinggi untuk mengambilkira kepelbagaian pengguna dalam merekabentuk sesuatu ruang dan bangunan. Pemahaman yang betul terhadap konsep rekabentuk sejagat dapat disimpulkan sebagai satu kaedah yang patut digunapakai untuk merekabentuk alam bina yang lebih mesra untuk semua, bukan sahaja bagi kepentingan OKU, tetapi bagi kegunaan masyarakat dari kepelbagaian keupayaan, tahap kesihatan dan bentuk fizikal seperti kanak-kanak, ibu mengandung dan warga emas.

Kepada sesiapa yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai perbincangan webinar ini boleh ke pautan https://youtu.be/6C0JyPm7Hps untuk menonton rakamannya.