Bulan Ramadhan adalah bulan yang dinantikan oleh semua umat Islam untuk menjalani ibadah puasa. Seperti yang telah diriwayatkan oleh al-Thabrani, Ibnu Khuzaimah & al-Baihaqi, Rasulullah SAW bersabda: “Seandainya manusia mengetahui keistimewaan Ramadan, nescaya mereka ingin supaya sepanjang tahun itu adalah Ramadan”. Ramadhan adalah bulan di mana setiap ganjaran semua amalan dilipatgandakan dan dikurniakan dengan satu malam yang lebih mulia dari seribu bulan.
Sejajar dengan penerapan nilai-nilai usaha, taqwa, mulia yang menjadi teras UiTM, Nursing Student Association (NUSA), Fakulti Sains Kesihatan, UiTM Puncak Alam yang dipimpin oleh Puan Nordianna Seman selaku Penasihat 1 Persatuan telah mengambil inisiatif untuk mengimarahkan bulan yang mulia ini dengan menganjurkan Majlis Ihya Ramadhan baru-baru ini. Majlis ini menjadi titik mula bagi pelaksanaan aktiviti-aktiviti yang telah dijadualkan di sepanjang bulan Ramadhan. Ini termasuklah tadarus Al-Quran dan perkongsian hadis mingguan melalui platform media sosial persatuan. Berteraskan objektif untuk memupuk minat dan kecintaan terhadap Al-Quran di kalangan pelajar serta mempererat persaudaraan dalam kalangan mahasiswa kejururawatan, program ini bertujuan menjadi platform untuk mengembangkan modal insan yang kompeten dengan kepemimpinan yang unggul. Ia juga bertujuan menjana graduan universiti yang cemerlang dan berakhlak tinggi, berlandaskan agama sebagai landasan kejayaan mereka.
Keterbatasan ruang memandangkan pelajar berada di kediaman masin-masing tidak menjadi halangan penyertaan bagi semua pelajar dalam Majlis Ihya Ramadhan ini yang telah diadakan secara atas talian. Dengan menggunakan platform Microsoft teams, majlis telah dapat dilaksanakan dengan jayanya dengan kehadiran seramai 111 orang pelajar kejururawatan dari pelbagai semester dan dimeriahkan lagi dengan kehadiran anggota Pusat Pengajian Kejururawatan. Acara dimulai dengan Nyanyian Asma-ul Husna sebelum tadarus A-Quran yang dipimpin sendiri oleh salah seorang pelajar kejururawatan iaitu Saudara Muhammad Amirul Firdaus Abdul Ghani dari Semester 6. Di samping itu, bagi meningkatkan pemahaman para peserta, beliau juga telah menyampaikan sesi tazkirah ringkas mengenai tentang kaifiat dan fadhilat tadarus Al-Quran. Perkongsian ringkas ini diharapkan dapat memberi panduan kepada semua peserta yang telibat dalam menjayakan aktiviti tadarus Al-Quran pada tahun ini di samping memupuk semangat cintakan Al-Quran yang seharusnya dijadikan panduan sepanjang masa.
Ramadhan adalah bulan yang mulia. Justeru, adalah menjadi menjadi harapan agar penganjuran Majlis Ihya Ramadhan ini dapat membentuk nilai jatidiri yang tinggi dan holistik dalam kalangan pelajar. Sejajar dengan aspirasi UiTM, penjanaan pelajar sebagai khazanah negara ini perlu diperhebatkan dengan pemerkasaan intelektual dan pembentukan jiwa.