PUNCAK ALAM, 18 Januari 2024 – Program Accelerate Your Research with EndNote 2023 telah dianjurkan oleh Persatuan Pelajar Fisioterapi (PHYTAS), Fakulti Sains Kesihatan UiTM Kampus Puncak Alam sesi 2022/2023. Program ini telah berlangsung secara bersemuka di Dewan Kuliah 1 Bangunan FSK 7 pada tanggal 23 November 2023 (Khamis) yang bermula pada pukul 2.15 petang sehingga 5.00 petang. Untuk makluman, program ini telah disertai oleh 100 orang pelajar daripada setiap kos dibawah Fakulti Sains Kesihatan dan juga seramai 19 orang ahli jawatankuasa yang telah bertungkus lumus demi menjayakan program ini. Program ini melibatkan medium berbentuk ceramah dan bimbingan yang diberikan oleh penceramah jemputan, Puan Nur Fatihah Muhammad selaku pustakawan di Perpustakaan Tun Abdul Rahman (PTAR) UiTM Kampus Puncak Alam.
Objektif utama program ini diadakan adalah untuk memberikan pendedahan kepada peserta tentang cara penggunaan perisian EndNote 21 sebagai medium untuk menguruskan sumber dalam penulisan penyelidikan dan akademik. Selain itu, idea pelaksanaan Accelerate Your Research with EndNote 2023 ini dijalankan bagi melahirkan pelajar yang mahir dalam format penulisan penyelidikan dan akademik. Harapan kami dengan pelaksanaan program ini dapat memupuk pelajar untuk menggunakan kaedah yang betul dan mudah serta meminimumkan kesalahan dalam penulisan penyelidikan dan akademik.
Program dimulakan dengan sesi pendaftaran pada jam 2.15 petang di Dewan Kuliah 1 Bangunan FSK 7. Pada jam 2.30 petang, program dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku dan Wawasan Setia Warga UiTM serta bacaan doa dan diteruskan dengan ucapan pengarah program serta ucapan perasmian oleh Encik Naim Faiz Bin Ahmad Imran selaku penasihat 1 Persatuan Pelajar Fisioterapi (PHYTAS). Program diteruskan lagi dengan sesi ceramah perkongsian cara penggunaan EndNote 21 oleh penceramah jemputan. Sesi soal jawab diteruskan setelah selesai sesi perkongsian bagi menjawab persoalan yang diajukan oleh peserta. Majlis penutupan program telah diadakan tepat jam 5.00 petang dengan pengisian sesi fotografi, nyanyian lagu Uitm Dihatiku dan bacaan doa Rabitah.
Secara keseluruhan, program ini telah memberikan impak positif kepada para peserta dan ahli jawatankuasa sepanjang program berlangsung dalam merealisasikan objektif dan matlamat program. Pihak Persatuan Pelajar Fisioterapi (PHYTAS) berharap agar program ini dapat membantu mahasiswa mempersiapkan diri dalam menghasilkan penulisan penyelidikan dan akademik yang berkualiti. Ribuan terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan program ini. Sekian, terima kasih.