Panduan Bijak Tenaga: Inisiatif Sulam UiTM Bantu Penduduk Shah Alam Jimat Elektrik

SHAH ALAM, 16 Disember 2025 – Program SULAM: Energy Efficiency and Safety Outreach telah berjaya dilaksanakan bersama komuniti Seksyen 7, Shah Alam, bertempat di Pusat Khidmat MPP Zon 3 hari ini. Inisiatif ini bertujuan untuk memberikan pendedahan praktikal berkaitan fungsi, komponen, dan aspek keselamatan papan agihan elektrik (DB) di kediaman, di samping meningkatkan kesedaran orang awam terhadap kepentingan penggunaan tenaga secara cekap dan berhemah.

Program yang dihadiri oleh lebih 20 orang penduduk setempat ini dijayakan oleh sekumpulan mahasiswa daripada Program Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik (Kepujian), Universiti Teknologi MARA (UiTM). Melalui inisiatif ini, para pelajar berpeluang berkongsi kepakaran teknikal mereka dengan komuniti, khususnya mengenai langkah-langkah keselamatan asas yang perlu diambil sebelum melaksanakan kerja-kerja elektrik kecil di rumah bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.

Antara pengisian utama program ini adalah sesi demonstrasi menggunakan model mock-up papan agihan elektrik (DB) serta simulasi kejadian litar pintas dan beban berlebihan yang menyebabkan pemutus litar (MCB) terpelantik. Melalui pendekatan praktikal ini, konsep teori kejuruteraan elektrik dapat diterangkan dalam bahasa yang mudah difahami oleh masyarakat awam. Para peserta juga diberi peluang untuk mencuba sendiri kaedah menetapkan semula MCB secara selamat serta mempelajari cara mengenal pasti punca gangguan bekalan elektrik di kediaman masing-masing.

Selain aspek teknikal, sesi perkongsian ini turut merangkumi tip penjimatan tenaga dan amalan keselamatan elektrik yang kritikal bagi setiap isi rumah. Aktiviti ini membantu komuniti menilai corak penggunaan elektrik mereka, mengenal pasti punca pembaziran tenaga, serta memupuk budaya penggunaan elektrik yang lebih selamat. Secara keseluruhannya, program ini bukan sahaja berjaya mengurangkan risiko renjatan atau kebakaran di rumah, malah membina keyakinan penduduk untuk bertindak dengan betul semasa berlakunya gangguan elektrik.