UiTM Anjur Program “The AI Fluent Future” Perkasa Literasi Kecerdasan Buatan dalam Kalangan Warga Akademia

SHAH ALAM, 9 Disember 2025 – Program akademik berimpak tinggi bertajuk “The AI Fluent Future: Mastering Literacy in a Machine Age” telah berjaya dianjurkan di Bilik Seminar, Fakulti Sains Maklumat, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Perdana. Program ini merupakan inisiatif pelajar Sarjana Pengurusan Maklumat (CDIM770) melalui kursus Marketing and Promotion Advocacy in Information Organizations (MLS793) di bawah seliaan Dr Haslinda binti Husaini selaku Penasihat Program. Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Profesor Madya Ts. Dr. Mohd Idzwan bin Mohd Salleh, Timbalan Dekan (Akademik), Fakulti Sains Maklumat.

Program ini menerima tajaan penuh daripada AWS Malaysia dan TAC Legacy, menunjukkan komitmen kukuh industri dalam menyokong usaha UiTM memperkasa pembangunan bakat digital negara. Objektif utama program adalah meningkatkan literasi kecerdasan buatan (AI) melalui pendedahan menyeluruh terhadap teknologi digital terkini, aplikasi AI semasa serta amalan terbaik penggunaan teknologi secara beretika dan bertanggungjawab.

Pelaksanaan program turut disokong secara strategik oleh Instructure, Malaysia Board of Technologists (MBOT), Tentera Darat Malaysia, Fakulti Sains Komputer dan Matematik (FSKM) UiTM, serta Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR). Secara keseluruhan, program mencatat penyertaan 160 pelajar, di samping penglibatan 31 staf, alumni dan wakil industri. Siaran dalam talian turut merekodkan 686 tontonan, mencerminkan minat yang semakin meningkat terhadap literasi AI dalam kalangan warga akademia dan industri.

Teras utama program melibatkan siri sesi profesional dan diskusi panel bersama pakar industri. Instructure telah menyampaikan sesi bertajuk “Human–AI Synergy: Redefining the Future of Higher Education”, dikendalikan oleh Encik Sidharth Oberoi, Puan Mariam Riza dan Encik Shiren Vijiasingam, yang menekankan perubahan landskap pengajaran dan pembelajaran melalui integrasi kecerdasan buatan, penggunaan data dalam pedagogi serta potensi AI meningkatkan penglibatan pelajar.

Sesi AWS Cloud and AI Certification oleh Tengku Nazrin Shah Tengku Mohd Adnan pula memberi tumpuan kepada keperluan kompetensi digital masa hadapan dan laluan pensijilan teknologi yang diiktiraf industri. Program diteruskan dengan AI Research Demo & AWS Career Talk oleh Rezza Danial Md Amir, menampilkan demonstrasi penyelidikan berasaskan AI serta peluang kerjaya dalam sektor teknologi yang sedang berkembang pesat.

Forum profesional bertajuk “AI Unlocked: Powering the Next Generation of Innovators” menampilkan Ts. Syahrul Hafidz Suid (MBOT) dan Dr Azlin Ahmad (UiTM Shah Alam), yang memberi tumpuan kepada peranan AI dalam memacu inovasi negara serta keperluan melahirkan tenaga kerja digital berkemahiran tinggi. Sesi seterusnya bertajuk “AI Did My Assignment, I Got an A – But Where’s the Ethics?” oleh Mejar Wan Nurhidayat Wan Muhamad dari Tentera Darat Malaysia menekankan aspek etika digital, akauntabiliti dan penggunaan teknologi yang bertanggungjawab.

Bagi meningkatkan literasi digital peserta, PTAR menganjurkan aktiviti “AI x Library: Discover, Learn and Build Smarter”, merangkumi cabaran bacaan pantas, kuiz berasaskan AI dan demonstrasi perkhidmatan perpustakaan digital. Inisiatif ini membantu pelajar memahami bagaimana AI menyokong penemuan maklumat, penyelidikan dan pembangunan kemahiran digital.

Penganjuran “The AI Fluent Future” membuktikan komitmen UiTM dalam memperkukuh kompetensi digital, meningkatkan kebolehpasaran graduan dan menyokong Matlamat Pembangunan Mampan SDG 4 (Pendidikan Berkualiti) dan SDG 17 (Kerjasama untuk Matlamat). Dengan impak yang signifikan dan penglibatan pelbagai pihak industri, program ini dijangka merintis kerjasama strategik lebih meluas serta mengukuhkan kedudukan UiTM sebagai peneraju inovasi teknologi dan pembelajaran digital di Malaysia.

Penulis: Roziana Jalar
Penyunting: Dr Haslinda Husaini