
SABAK BERNAM, 4 Disember 2025 – UiTM Cawangan Selangor melalui Bahagian Penyelidikan & Inovasi telah menyertai Karnival Ban Canal 2025 pada 7 hingga 9 November, anjuran Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) di bawah inisiatif Sabak Bernam Development Area (SABDA). Karnival yang berlangsung meriah itu dirasmikan oleh YAB Dato’ Seri Amirudin Shari, Menteri Besar Selangor, sebagai manifestasi komitmen Kerajaan Negeri terhadap pembangunan komuniti, pemerkasaan eko-pelancongan dan agenda kelestarian jangka panjang.
Karnival berskala besar ini bertujuan memperkukuh keterlibatan komuniti melalui pelbagai aktiviti berteraskan alam, budaya dan inovasi hijau. Inisiatif ini turut menyokong hasrat SABDA ke arah menjadikan Sabak Bernam sebagai hab agropelancongan dan ekopelancongan utama di Selangor.
Pada tahun ini, penyertaan UiTM diserikan oleh Marine Pharmaceutical Research Group (MaReG), sebuah Research Interest Group (RIG) aktif yang menerajui penyelidikan biodiversiti marin, biodiversiti daratan dan inovasi berasaskan kelestarian. Menggunakan tema “Memperkasa Eko-Pelancongan melalui Kelestarian dan Perlindungan Biodiversiti”, MaReG memperkenalkan inovasi utama mereka iaitu ekoenzim, produk hijau yang dihasilkan melalui fermentasi sisa dapur—terutamanya kulit buah-buahan—sebagai pendekatan ekonomi sirkular untuk mengurangkan sisa dan meningkatkan nilai komuniti.


Penyelidikan menunjukkan bahawa ekoenzim berkesan sebagai bahan pencuci semula jadi dan turut bertindak sebagai baja organik tidak toksik yang mampu meningkatkan kesuburan tanah dan kesihatan tanaman. Demonstrasi interaktif di reruai UiTM mendapat sambutan menggalakkan, terutamanya daripada komuniti pertanian dan suri rumah yang ingin mencari alternatif lestari serta berkos rendah.
Menurut Ketua Penyelidik MaReG, Dr. Siti Alwani, inovasi ini merupakan bukti bahawa penyelesaian besar boleh lahir daripada sumber yang mudah dan sering diabaikan. “Ekoenzim bukan sahaja berfungsi sebagai bahan pencuci tetapi juga penyahbau, agen pembersihan dan baja organik. Inovasi ini mudah dihasilkan, mesra alam dan memberi manfaat langsung kepada komuniti,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa kerjasama antara UiTM, SABDA dan agensi kerajaan amat penting dalam memperluas pendedahan masyarakat terhadap inovasi hijau. “Kelestarian tidak boleh terhenti di kampus. Ia perlu disebarkan ke komuniti melalui latihan, pendidikan dan perkongsian. Karnival Ban Canal 2025 membuka ruang besar untuk kami memperkenalkan inovasi yang memanfaatkan rakyat,” jelasnya.
Penyertaan UiTM Cawangan Selangor melalui MaReG bukan sahaja menonjolkan keupayaan penyelidikan universiti, malah memperkukuh hubungan strategik antara UiTM, Kerajaan Negeri dan komuniti Sabak Bernam dalam membentuk ekosistem kelestarian yang inklusif dan mampan.
