UiTM Pahang Perkukuh Literasi Digital Pelajar Melalui Program Keusahawanan Digital 2025

Raub, 1 November 2025 – Akademi Pembangunan PKS dan Keusahawanan Malaysia (MASMED), UiTM Cawangan Pahang, Kampus Raub telah menganjurkan Program Keusahawanan Digital 2025 dengan kerjasama Yayasan Pelajaran MARA (YPM) dan tajaan daripada Maybank Islamic Berhad. Program ini berjaya menghimpunkan seramai 250 pelajar pelbagai jurusan yang menunjukkan minat mendalam untuk meneroka dunia keusahawanan digital, selaras dengan aspirasi UiTM melahirkan graduan berdaya saing dalam ekonomi digital.

Majlis perasmian disempurnakan oleh YBrs. Encik Mohamad Iqbal bin Abdul Halim, Eksekutif Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif YPM, dan turut dihadiri oleh Penolong Naib Canselor MASMED UiTM bersama barisan pengurusan tertinggi universiti. Program ini bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar mengenai ilmu dan kemahiran keusahawanan digital, termasuk pemasaran atas talian, proses pendaftaran perniagaan, serta perkongsian inspirasi daripada usahawan berjaya.

Pengisian program merangkumi sesi interaktif bersama penceramah profesional daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), pensyarah Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan wakil industri yang berpengalaman luas dalam bidang perniagaan digital. Antara aktiviti utama ialah Pertandingan Video Promosi Produk, yang menyaksikan penghasilan 35 video kreatif oleh pelajar. Pertandingan ini menjadi platform untuk mengasah kreativiti dan kemahiran pemasaran digital, dengan tiga kumpulan terbaik diumumkan sebagai pemenang.

Program ini turut menyumbang kepada pencapaian KPI UiTM dalam aspek kolaborasi strategik bersama agensi kerajaan, industri dan institusi pendidikan. Melalui penglibatan YPM, SSM, UMK dan Maybank Islamic Berhad, UiTM memperkukuh jaringan kerjasama berimpak tinggi serta membina ekosistem keusahawanan mampan.

Secara keseluruhan, Program Keusahawanan Digital 2025 bukan sahaja meningkatkan literasi digital pelajar, tetapi juga memupuk nilai inovasi, daya saing dan semangat berdikari, selaras dengan aspirasi UiTM untuk melahirkan graduan holistik dan berjiwa usahawan dalam era ekonomi digital.