
JAWA TENGAH, INDONESIA, 31 Oktober 2025 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pulau Pinang Kampus Bertam, Malaysia, dan Universitas Telogorejo Semarang, Indonesia, sekali lagi mencatat kejayaan melalui penganjuran Sesi Pengajaran Kolaboratif yang melibatkan pelajar Diploma Kejururawatan dari kedua-dua institusi. Program ini merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuh jaringan akademik antarabangsa serta meningkatkan kualiti pendidikan kejururawatan.
Sesi yang berlangsung secara atas talian melalui platform Zoom ini dihoskan oleh Universitas Telogorejo Semarang dari jam 9.00 pagi hingga 11.00 pagi (waktu Malaysia). Seramai 70 pelajar semester 3 dan 5 dari Universitas Telogorejo Semarang serta 30 pelajar semester 5 dari UiTM Cawangan Pulau Pinang Kampus Bertam telah menyertai sesi ini.

Pengajaran Kolaboratif dua hala ini memberi tumpuan kepada isu-isu berkaitan proses penuaan atau Gerontologi, yang semakin relevan dalam konteks penjagaan kesihatan global. Tajuk pertama, “Promoting Healthy Aging Communities: The Role of Nurses”, telah disampaikan oleh Puan Norsuraya binti Hassan, pensyarah UiTM. Sementara itu, tajuk kedua, “Comprehensive Nursing Care for Patients with Dementia”, dibentangkan oleh Ns. I’Ien Noer’aini, M.Kep, pensyarah Universitas Telogorejo Semarang. Kedua-dua sesi menekankan peranan penting jururawat dalam memastikan penjagaan komprehensif dan meningkatkan kesejahteraan warga emas.
Program ini bukan sahaja membuka peluang kepada pelajar untuk memahami amalan kejururawatan merentasi sempadan, malah menggalakkan pertukaran ilmu dan pengalaman antara dua negara. UiTM berharap inisiatif sebegini dapat diteruskan pada masa hadapan bagi memperkukuh hubungan akademik dan memberi manfaat berterusan kepada komuniti pendidikan serta industri kesihatan.
