JIIICaS 2025 Catat Sejarah Tersendiri dengan Penyertaan 339 Inovator dari Dalam dan Luar Negara

PASIR GUDANG, 8 September 2025 – Fakulti Sains Komputer dan Matematik (FSKM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Johor, Kampus Pasir Gudang telah mencatat sejarah penganjuran apabila menerima sebanyak 339 penyertaan dari Malaysia, Indonesia, Brunei dan Thailand dalam edisi ketiga Johor International Innovation, Invention Competition and Symposium (JIIICaS) 2025. Program berprestij ini berlangsung secara maya dari 7 April hingga 2 September 2025 dengan tema “Bridging Ideas and Reality through Emerging Technologies in Innovation”.

JIIICaS 2025 menghimpunkan pelbagai lapisan peserta termasuk pelajar sekolah rendah, menengah, pendidikan khas, vokasional, institusi pengajian tinggi, penyelidik, ahli akademik dan pemain industri. Penganjuran kali ini turut meraikan penyertaan pelajar berkeperluan khas melalui kategori khusus dengan rubrik pemarkahan tersendiri, menonjolkan nilai keterangkuman dalam inovasi.

Program ini mendapat perhatian media apabila menerima liputan khas menerusi rancangan AWANI Pagi pada 3 Jun 2025. Temu bual bersama Pengarah JIIICaS, Dr. Ghazali Semil @ Ismail dan Timbalan Pengarah, Dr. Nur Idayu Alimon menekankan visi JIIICaS sebagai platform maya global untuk pelajar mempamerkan inovasi melalui pembentangan video berdurasi 7 hingga 10 minit.

Selain pertandingan inovasi, JIIICaS turut menganjurkan Symposium on Innovation in the Digital Era (SIDE) yang menampilkan penceramah seperti Ts. Dr. Siti Fairuz Nurr Sadikan (UiTM Melaka) dengan tajuk “Is It Really You? How Keystroke Patterns Uncover Hidden Identity”, serta Encik Hasmi Taib dari PETRONAS yang membentangkan “Innovation in Integrity: Safeguarding Ageing Offshore Structures Through Smart Solutions”.

Majlis penutup rasmi telah disempurnakan oleh Prof. Madya Dr. Saunah Zainon, Menjalankan Fungsi Rektor UiTM Cawangan Johor, dan disiarkan secara langsung melalui saluran YouTube UiTM Johor. Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa inovasi adalah kaedah praktikal untuk menyelesaikan masalah dunia sebenar dan meningkatkan kesejahteraan masyarakat.

Antara pencapaian utama JIIICaS 2025 ialah pengiktirafan kepada Kolej Universiti Selatan, Skudai, Johor yang menerima Anugerah Mahkota bagi kategori institusi pengajian tinggi melalui projek “Real-time Vision Based Diseases Identification for Palm Oil Trees Using Edge Device”. Sebanyak 15 Anugerah Istimewa dipertandingkan, dengan 109 penyertaan meraih pingat emas. Senarai penuh pemenang boleh diakses melalui laman rasmi .

Program ini turut mendapat sokongan penaja utama Ziyad Engineering & Construction Sdn. Bhd., serta penaja bersama Poliklinik Tiram 24 Jam, HydroBuzz dan Silver Base (M) Sdn. Bhd. Rakan kolaborasi terdiri daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), UiTM Cawangan Sabah, UniKL, UTHM, Universitas Batam dan Politeknik Caltex Riau, Indonesia.

Kejayaan JIIICaS 2025 membuktikan UiTM Cawangan Johor sebagai penggerak utama dalam memperkasakan inovasi berimpak tinggi di peringkat global, sejajar dengan visi UiTM untuk membudayakan penyelidikan dan pembangunan yang memberi manfaat kepada komuniti, negara dan rantau ini.