
SERI ISKANDAR, 20 Ogos 2025 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak telah berjaya menganjurkan edisi Pertandingan Debat Piala Naib Canselor UiTM 2025 bermula 17 hingga 20 Ogos 2025. Pertandingan ini menghimpunkan 47 pasukan debat dari seluruh sistem UiTM, melibatkan 25 pasukan Bahasa Melayu dan 22 pasukan Bahasa Inggeris yang terdiri daripada pelajar pelbagai latar akademik dan kampus.
Sebagai tuan rumah, UiTM Cawangan Perak telah mengagihkan lokasi pertandingan kepada dua kampus: Tapah bagi pusingan awal hingga separuh akhir, dan Seri Iskandar bagi pertandingan akhir. Penganjuran ini diketuai oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar UiTM Cawangan Perak dengan sokongan Majlis Perwakilan Pelajar sesi 2024/2025 serta The Debate Club dari kampus Tapah.
Pertandingan akhir berlangsung dalam dua sesi. Pada sebelah pagi, pasukan UT MARA A dari Shah Alam dinobatkan sebagai johan kategori Bahasa Inggeris, menewaskan pasukan UT MARA B, Jengka dan Kelantan. Pendebat terbaik kategori ini disandang oleh Nur Airil Aiman bin Mahmud. Sesi petang menyaksikan pasukan UiTM Sarawak muncul juara kategori Bahasa Melayu selepas menewaskan UiTM Shah Alam A dalam perdebatan bertemakan “Kecerdasan Buatan (AI) Perlu Dijadikan Teras Dalam Pelan Pendidikan 2026–2036”. UiTM Sarawak bertindak sebagai pihak kerajaan manakala Shah Alam A sebagai pembangkang. Pendebat terbaik kategori Bahasa Melayu dianugerahkan kepada Nursalwa Batrisyia binti Anuar dari Fakulti Undang-Undang, UiTM Shah Alam.


Majlis penutup telah disempurnakan oleh Yang Berbahagia Profesor Dr. Mohd Sazili bin Shahibi, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (HEP) UiTM, mewakili Naib Canselor UiTM yang sedang menunaikan umrah. Turut hadir ialah barisan pengurusan eksekutif UiTM Cawangan Perak yang diketuai oleh Profesor Madya Dr. Nur Hisham bin Ibrahim, yang menjalankan tugas Rektor, serta Timbalan Rektor HEP, Profesor Madya Sr. Dr. Mohd Azian bin Zaidi.

Majlis turut diserikan dengan tayangan amanat khas daripada Naib Canselor UiTM, Yang Berbahagia Profesor Datuk Ts. Dr. Shahrin bin Sahib @ Sahibuddin. Dalam amanat tersebut, beliau menekankan bahawa debat merupakan wadah pembelajaran yang memupuk pemikiran kritis, kemahiran berhujah dan adab dalam perbezaan pendapat. Beliau menyeru agar pertandingan ini dijadikan platform menyuburkan budaya ilmu dan membina nilai persahabatan yang berkekalan.
Dalam ucapannya, Profesor Dr. Mohd Sazili turut menzahirkan penghargaan kepada semua peserta dan menyifatkan pertandingan ini sebagai medan perjuangan idea yang membuktikan keupayaan mahasiswa untuk berfikir dan berhujah secara matang. Beliau menegaskan bahawa perbezaan pendapat bukanlah punca perpecahan, sebaliknya peluang untuk saling memahami dan mencari titik persamaan.
Pertandingan Debat Piala Naib Canselor UiTM 2025 telah berjaya memperkukuh budaya ilmu, mempertingkatkan kemandirian mahasiswa dan mengukuhkan peranan UiTM sebagai institusi yang menyemai nilai kepimpinan dan pemikiran kritis dalam kalangan generasi muda.
