
Pulau Pinang, 7 Ogos 2025 – Seramai 116 peserta terdiri daripada murid-murid Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), banduan, guru sekolah, serta pegawai penjara telah terlibat dalam latihan intensif iMistroom 2.0 anjuran Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pulau Pinang menerusi Fakulti Kejuruteraan Mekanikal. Program ini dilaksanakan sebagai sebahagian daripada inisiatif Program Pendayaan Komuniti Universiti Awam (Komuniti@UniMADANI).
Latihan berimpak tinggi ini telah dijalankan di dua lokasi berbeza, iaitu Sekolah Kebangsaan Mak Mandin pada 16 Julai 2025 (Rabu) dan Penjara Pulau Pinang pada 17 Julai 2025 (Khamis). Program bertujuan memberi pendedahan dan kemahiran asas berkaitan pengurusan rumah cendawan iMistroom 2.0, termasuk kaedah penyusunan bongkah, penjagaan persekitaran rumah cendawan, serta teknik asas pengendalian hasil tanaman. Aktiviti dijalankan secara praktikal dengan bimbingan tenaga pengajar dan teknikal daripada pihak UiTM.

Menurut Ketua Projek, Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Koay Mei Hyie, program ini merupakan langkah proaktif dalam memperluas jangkauan khidmat universiti kepada golongan sasaran yang memerlukan sokongan, kemahiran dan peluang ekonomi alternatif. “Melalui latihan ini, peserta bukan sahaja diberi pendedahan teknikal tetapi juga diasah dari segi kemahiran insaniah seperti kerjasama, komunikasi dan keyakinan diri. Ini adalah selari dengan aspirasi Malaysia MADANI,” ujar beliau.
Projek ini turut mendapat sokongan padu daripada Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) melalui dana Komuniti@UniMADANI, selaras dengan aspirasi kerajaan untuk memperkasa kerjasama antara universiti dan komuniti secara holistik.
Dengan kejayaan pelaksanaan program ini, Fakulti Kejuruteraan Mekanikal UiTM Pulau Pinang berhasrat untuk terus memperluas capaian projek iMistroom ke lebih banyak komuniti sasaran pada masa hadapan, seterusnya menyokong matlamat universiti sebagai peneraju pemindahan ilmu dan teknologi kepada masyarakat.
Penulis: Nur Hafizah Habideen
Penyunting: Normariah Che Maideen
