
Puncak Alam, 17 Jun 2025 — Universiti Teknologi MARA (UiTM) melalui Hospital Al-Sultan Abdullah (HASA) dan FUJIFILM Malaysia secara rasmi memeterai satu Memorandum Perjanjian (MoA) dalam satu majlis bersejarah yang berlangsung di Hospital Al-Sultan Abdullah, UiTM Kampus Puncak Alam. MoA ini ditandatangani oleh Pengarah Hospital Al-Sultan Abdullah dan Pengarah Urusan FUJIFILM Malaysia, menandakan permulaan kerjasama strategik yang bakal memacu kemajuan bidang endoskopi gastrointestinal di Malaysia dan rantau ini.
Usahasama ini disusun sebagai langkah memperkukuh inisiatif GastroUiTM, iaitu satu projek bersama Fakulti Perubatan UiTM dan HASA untuk mewujudkan hab latihan serantau dalam bidang endoskopi gastrointestinal yang mampu menawarkan latihan bertaraf antarabangsa kepada tenaga kerja kesihatan. Melalui perjanjian ini, teknologi endoskopi tercanggih FUJIFILM akan digabungkan dengan kepakaran akademik dan klinikal UiTM dalam bidang gastroenterologi, sekali gus meningkatkan keupayaan latihan dan perkhidmatan hospital dalam mengenal pasti serta merawat penyakit gastrousus secara lebih berkesan dan awal.


Kolaborasi ini merupakan kesinambungan kerjasama antara kedua-dua pihak sejak tahun 2019, membuktikan keberkesanan model sinergi industri-akademia dalam memperkasa ekosistem pendidikan dan penjagaan kesihatan. Dalam tempoh beberapa tahun lalu, hubungan ini telah menghasilkan pelbagai inisiatif berkualiti tinggi termasuk bengkel latihan, sokongan teknologi dan penyelidikan berimpak yang sejajar dengan keperluan semasa dunia perubatan.
MoA ini juga akan membuka jalan kepada penggunaan teknologi inovatif seperti Linked Color Imaging (LCI), Blue Light Imaging (BLI) dan sistem Artificial Intelligence (AI) berasaskan konsep REILI, yang setanding dengan amalan terkini di pusat gastroenterologi terkemuka dunia. Teknologi ini mampu membantu dalam pengesanan awal kanser gastrousus dan meningkatkan ketepatan diagnostik klinikal.
Dengan termeterainya perjanjian ini, UiTM mengukuhkan komitmennya untuk menjadi pemimpin dalam pendidikan kesihatan berasaskan teknologi dan penyelidikan translasi. HASA, sebagai hospital akademik UiTM, akan terus berperanan sebagai platform rujukan dalam pembangunan profesional kesihatan, penyelidikan klinikal dan penglibatan komuniti.
Kerjasama ini diyakini mampu memberi impak besar dalam memperkukuh prestasi Malaysia sebagai hab gastroenterologi serantau, serta menyumbang kepada peningkatan kualiti hidup rakyat melalui perkhidmatan kesihatan yang lebih mampan, inovatif dan berpaksikan nilai.
