
SHAH ALAM, 26 Jun 2025 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Puncak Alam menerusi Pusat Pengajian Kesihatan dan Keselamatan Persekitaran, Fakulti Sains Kesihatan, telah berjaya menganjurkan Program Gerakan Environmen Murid Sekolah (GEMS 3.0) dengan kerjasama Sekolah Kebangsaan Puncak Perdana. Program ini berlangsung pada 26 Jun 2025 dari jam 7.30 pagi hingga 12.30 tengah hari dan melibatkan seramai 80 orang murid tahap dua sekolah tersebut.
Inisiatif ini bertujuan untuk memupuk kesedaran awal dalam kalangan murid terhadap kepentingan keselamatan di persekitaran sekolah, yang merangkumi aspek fizikal, emosi dan sosial. Menerusi pendekatan yang interaktif dan menyeronokkan, para murid didedahkan kepada amalan keselamatan harian yang boleh diaplikasikan dalam kehidupan seharian mereka.
Program GEMS 3.0 pada tahun ini merupakan sebahgaian daripada program usaha tanggungjawab sosial komuniti (CSR) universiti, selaras dengan inisiatif Service Learning Malaysia – University for Society (SULAM) yang menekankan pemindahan ilmu dan pembangunan kesedaran keselamatan secara mampan dalam komuniti sekolah.

Pengisian program dimulakan dengan ceramah keselamatan oleh Dr. Hairul Nazmin bin Nasruddin berkaitan dengan langkah-langkah pencegahan kemalangan ringan dan penjagaan kawasan sekolah. Selain itu, sesi demonstrasi yang bertemakan “Waspada, Kenali Risiko, Ambil Tindakan” telah dikelolakan oleh pelajar UiTM berkaitan kawasan berisiko, tanda awal gangguan emosi serta tingkah laku tidak selamat. Selian itu juga, program turut diselitkan dengan kuiz keselamatan bertemakan “Tindakan Cekap, Selamat Terjamin” bagi menguji tahap pemahaman murid.
Prof Madya Ts. Dr. Mohd Shukri Mohd Aris dalam ucapan perasmian beliau menyatakan bahawa program ini bukan sahaja meningkatkan kesedaran murid terhadap isu keselamatan, malah memupuk nilai tanggungjawab dan budaya saling peduli dalam kalangan rakan sebaya. Turut serta dalam sesi tersebut, Puan Ani bte Meh, Guru Besar SK Puncak Perdana.
Penganjuran GEMS 3.0 sememangnya menjadi bukti keberkesanan kerjasama rentas sektor antara UiTM, sekolah dan komuniti setempat dalam mewujudkan suasana pembelajaran yang
inklusif dan kondusif. Ia juga seiring dengan aspirasi UiTM untuk menyumbang kepada pembangunan mampan melalui pendidikan dan pemindahan ilmu berimpak tinggi.
