
Kuantan, 25 Mei 2025 – Kejohanan Bola Keranjang NC KABA Tertutup Peringkat Negeri Pahang Piala Dato’ Aziz Kali Pertama 2025 melabuhkan tirainya dengan jayanya pada 25 Mei lalu selepas berlangsung selama enam hari bermula 20 Mei di Pusat Latihan Bola Keranjang Kuantan, Pahang Darul Makmur.
Edisi sulung kejohanan ini disertai lima pasukan iaitu Phantoms UiTM Cawangan Pahang, Pasukan Anak Malaysia, Indera BC, IIUM Kuantan, dan TB Gallus, melibatkan gabungan kelab sukan dan institusi pengajian tinggi. Menyerlahkan keterlibatan aktif mahasiswa, pemain Phantoms, Muhammad Adam Syahmi Abdul Wahab, diberi penghormatan untuk mengetuai bacaan ikrar kejohanan.

Pertandingan dijalankan secara liga satu pusingan yang menyaksikan setiap pasukan bertemu antara satu sama lain. Pasukan Phantoms mempamerkan aksi membanggakan apabila berjaya menewaskan Indera BC 44–37 dan menewaskan TB Gallus 46–39 dalam perebutan tempat ketiga. Pasukan Anak Malaysia muncul juara, diikuti IIUM Kuantan di tempat kedua.
Menurut Muhammad Adam Syahmi, kejohanan ini menjadi platform terbaik untuk mengasah bakat pemain muda ke peringkat lebih tinggi. Manakala Muhammad Amir Nasiruddin dari TB Gallus, yang juga alumni UiTM Pahang, menyifatkan kejohanan ini mampu memberi impak positif dalam memperkasakan penyertaan pelajar institusi pengajian tinggi dalam arena bola keranjang.
Kejayaan Phantoms UiTM Cawangan Pahang membuktikan potensi besar mahasiswa dalam sukan kompetitif dan menyumbang kepada pembangunan sukan bola keranjang negeri.
