
Puncak Alam, 21 Mei 2025 – Seramai 13 orang pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Senibina Dalaman (Kepujian), Fakulti Alam Bina (FAB), UiTM Cawangan Selangor, Kampus Puncak Alam telah menyertai Program Lawatan Akademik ke Shanghai, China yang berlangsung dari 16 hingga 21 Mei 2025. Lawatan ini turut disertai oleh dua orang pensyarah pengiring, iaitu Puan Syazwani binti Abdul Kadir dan Dr. Mawar binti Haji Masri.
Program ini dianjurkan sebagai sebahagian daripada pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman bagi kursus INA631 Design Project II, yang memberikan pendedahan langsung kepada pelajar berkenaan reka bentuk dalaman dan teknologi pada peringkat antarabangsa. Shanghai, sebuah bandaraya global yang menonjol dengan integrasi reka bentuk moden dan warisan tempatan, telah dipilih sebagai lokasi utama untuk memperluaskan pemahaman pelajar terhadap konteks global dalam dunia senibina dalaman.

Sepanjang lawatan, para pelajar berpeluang menjalankan kajian lapangan dan melawat pelbagai lokasi berprestij seperti Shanghai Tower, China Art Museum, Shanghai Museum of Glass dan The Bund. Beberapa tapak lawatan turut memaparkan hasil rekaan terkenal oleh tokoh-tokoh industri seperti Kengo Kuma, Keiji Ashizawa, dan firma rekaan Neri & Hu. Lawatan ini membolehkan pelajar mengenal pasti strategi reka bentuk yang praktikal dan bermakna untuk diaplikasikan dalam projek akhir tahun mereka.
Selain objektif akademik, program ini turut memberi peluang kepada pelajar untuk membina kemahiran kepimpinan, komunikasi, dan semangat kerjasama melalui proses perancangan dan pelaksanaan bersama. Pendedahan kepada budaya serta persekitaran antarabangsa turut memperkayakan perspektif pelajar sebagai bakal profesional dalam bidang kreatif dan rekabentuk.
Para peserta turut berkongsi pemerhatian mereka terhadap kemampanan bandaraya Shanghai, yang dikenali sebagai ‘green city’ menerusi kemudahan pengangkutan awam yang efisien, ruang lanskap hijau yang terancang dan tahap kebersihan bandar yang tinggi — mencerminkan kecemerlangan dari aspek reka bentuk dan kesedaran sivik.
Kejayaan pelaksanaan program ini mencerminkan komitmen UiTM dalam menyediakan pengalaman pembelajaran yang bersifat global, kontekstual dan berimpak tinggi, sejajar dengan hasrat melahirkan graduan yang kompeten, berdaya saing dan berpandangan jauh.
