
AMPANG, 15 Jun 2025 – Bersempena Sambutan Hari Denggi ASEAN 2025, seramai 15 pelajar Sarjana Muda Kesihatan dan Keselamatan Persekitaran (Kepujian), Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah melaksanakan Program Komuniti 4 Anti-Aedes: “Misi Bersih, Komuniti Ceria” bersama komuniti Flat Pandan Mewah di Ampang, Selangor.
Program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif pembelajaran berasaskan komuniti UiTM, dengan kerjasama Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Langat, serta mendapat liputan daripada Berita RTM, sekali gus memperluas impaknya kepada masyarakat umum.
Bertujuan meningkatkan kesedaran komuniti terhadap pencegahan tempat pembiakan nyamuk Aedes, program ini turut memberi ruang kepada mahasiswa untuk mengaplikasikan teori dan mengasah kemahiran insaniah seperti komunikasi, kepimpinan dan kerja berpasukan dalam konteks dunia sebenar.


Menurut Prof. Madya Dr. Nazri bin Che Dom, pensyarah kursus Pengurusan Vektor, program ini adalah landasan terbaik untuk menggabungkan pengetahuan akademik dengan tanggungjawab sosial.
Majlis penutup disempurnakan oleh Tuan Ts. Haji Hasrolnizam bin Shaari, Timbalan Yang Dipertua MPAJ; Puan Tan Swee Boon, Ahli Majlis JKP Zon 20 Teratai; serta Encik Hasbullah bin Umaruddin, Pengerusi Persatuan Penduduk Flat Pandan Mewah, yang masing-masing menzahirkan sokongan penuh dan berharap program seumpamanya diteruskan bagi memperkukuh kesedaran kebersihan dan pengurusan sisa di kawasan kediaman berisiko.
Program ini membuktikan keupayaan UiTM dalam membentuk graduan holistik yang bukan sahaja cemerlang dalam bilik kuliah, malah bersedia menyumbang secara aktif kepada kesejahteraan komuniti dan kelestarian alam sekitar, sejajar dengan aspirasi universiti dan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG).
