Majlis Sambutan Hari Raya UCS 2025 Bertemakan Raya Hijau Lestari

PUNCAK ALAM, 22 APRIL 2025 – Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2025 anjuran UiTM Cawangan Selangor tampil unik dengan tema “Raya Hijau Lestari”, selari dengan inisiatif “Green Campus” dan sambutan Hari Bumi Sedunia. Majlis yang berlangsung di Dewan Berlian, Kampus Puncak Alam ini dirasmikan oleh YBrs. Profesor Dr. Ahmad Taufek Abdul Rahman, Rektor UiTM Cawangan Selangor dan disertai lebih 400 orang warga bersama wakil komuniti serta rakan strategik. Antara pengisian bermakna termasuk penyampaian sumbangan kepada pelajar yang terkesan akibat insiden kebakaran paip gas di Putra Heights sebagai tanda keprihatinan.

Sebanyak 12 reruai mengambil bahagian dalam memeriahkan sambutan ini dengan mempamerkan bakat kreatif. Pelbagai hiasan menarik telah dihasilkan daripada barangan kitar semula seperti kertas, plastik dan aluminium digunakan sejajar dengan usaha menyemai kesedaran terhadap pemeliharaan alam sekitar. Seusai program, bahan hiasan dikumpulkan untuk dikitar semula, dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kuala Selangor mencerminkan komitmen warga UCS terhadap nilai kelestarian.

Kejayaan penganjuran majlis bertemakan “Raya Hijau Lestari” ini memperlihatkan komitmen berterusan UiTM Cawangan Selangor dalam menerapkan nilai kelestarian, perpaduan dan kebajikan melalui pendekatan yang kreatif dan berimpak. Usaha ini bukan sahaja menyuntik kelainan dalam meraikan perayaan, malah turut menyemai kesedaran warga kampus terhadap tanggungjawab memelihara alam sekitar sebagai sebahagian daripada budaya universiti yang progresif dan berdaya saing.

Penulis: Nor Azyyati Md Saad & Inarah Ajhar
Editor: Nor Azyyati Md Saad