Bengkel Semakan Tadbir Urus: Langkah Progresif UiTM Cawangan Selangor

Puncak Alam, 15 April 2025 – Bengkel Semakan Tadbir Urus UiTM Cawangan Selangor telah dianjurkan selama dua hari, bertujuan membuat semakan terkini terhadap Term of Reference (TOR) serta keanggotaan ahli 43 jawatankuasa mesyuarat di UCS secara keseluruhannya. Taklimat pembukaan dan sesi Coaching Semakan Tadbir Urus telah disampaikan oleh Puan Alfina Bakar, K.M.N., CHRM, Ketua Timbalan Pendaftar Kanan, BPSM.

Bengkel disertai oleh setiausaha dan urusetia bagi jawatankuasa di peringkat operasi dan feeder yang terlibat dalam semakan semula tadbir urus jawatankuasa bagi penghasilan Dokumen Tadbir Urus UiTM Cawangan Selangor 2.0. Hadir meluangkan masa, YBrs. Profesor Dr Ahmad Taufek Abdul Rahman, Rektor, turut memberikan suntikan semangat serta penghargaan kepada semua Setiausaha dan Urusetia yang komited dalam menjayakan pembangunan dokumen penting ini. Diharapkan keberhasilan bengkel ini akan menjadi pemangkin kepada amalan tadbir urus yang lebih sistematik, efisien dan berimpak tinggi di peringkat UCS.

Program ini memberi impak yang besar dalam memperkukuhkan kejelasan peranan dan tanggungjawab ahli jawatankuasa di pelbagai peringkat, sekaligus meningkatkan kecekapan pelaksanaan dasar serta pelaporan pengurusan kampus. Melalui pendekatan semakan secara menyeluruh dan terancang ini, pelbagai penambahbaikan dapat dikenal pasti bagi memastikan tadbir urus universiti terus berada di landasan yang betul dan progresif.

Usaha UiTM Cawangan Selangor dalam menganjurkan bengkel seperti ini wajar dipuji kerana bukan sahaja menyokong prinsip tadbir urus yang baik, malah menzahirkan komitmen institusi terhadap budaya kerja yang berintegriti dan profesional. Diharapkan program seumpama ini dapat diteruskan secara berkala agar kualiti pengurusan dan pentadbiran sentiasa berada pada tahap yang terbaik.

Penulis: Wan Mahsuri, Inarah Ajhar & Unit Komunikasi Korporat

Editor: Nor Azyyati Md Saad