UiTM Sarawak Laksana Program Mobiliti Pelajar ke Jepun, Fokus Penyelidikan Lestari

TOKYO, 24 Mac 2025 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak terus melangkah ke hadapan dalam memupuk kerjasama akademik global menerusi pelaksanaan Program Mobiliti Pelajar buat kali kedua ke Tokyo Metropolitan University (TMU), Jepun, yang berlangsung dari 24 Februari hingga 21 Mac 2025 yang dibiayai oleh Tabung Kenyalang UiTM Sarawak, Yayasan Sarawak, Dana UiTM Global Sarawak serta TMU.

Program ini melibatkan penyertaan seorang pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Sains (Kimia) dan Pengurusan (AS222), Nurul Najwa Nashyrah Yussuf, yang menjalani sangkutan penyelidikan selama satu bulan di makmal organik TMU, di bawah bimbingan penyelidik terkemuka Jepun, Profesor Dr. Kotohiro Nomura dan Profesor Madya Dr. Mohamed Mehawed Abdellatif.

Diterajui bersama ChM. Dr. Nor Wahida Awang, pensyarah kanan dari Fakulti Sains Gunaan UiTM Cawangan Sarawak, program ini memberi peluang terutamanya kepada pelajar B40 untuk terlibat secara langsung dalam penyelidikan kimia polimer menggunakan kemudahan berteknologi tinggi serta merasai pengalaman pembelajaran rentas budaya di universiti bertaraf antarabangsa.

Berbeza dengan penyelidikan terdahulu yang dijalankan pada skala makmal (lab scale), kajian kali ini memberi tumpuan kepada pengembangan skala besar (pilot scale) dalam proses kitar semula kimia yang mampan, khususnya dalam depolimerisasi bahan buangan seperti botol PET dan sisa tekstil. Pendekatan ini dijangka dapat memberikan hasil yang lebih stabil, boleh diguna semula, serta menjanjikan kebolehgunaan teknologi untuk penggunaan industri sebenar, termasuk sektor tekstil dan pengurusan sisa pepejal.

Program ini juga dapat memberi nilai tambah akademik kepada pelajar, serta membuka ruang kepada pembangunan sahsiah, kemahiran insaniah, kerjasama penyelidikan antarabangsa dan pengukuhan hubungan strategik antara universiti.

Kolaborasi ini membuktikan komitmen UiTM dalam menyokong agenda antarabangsa dan kelestarian pendidikan tinggi yang juga seiring dengan usaha negara mencapai beberapa Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya dalam menyediakan pendidikan berkualiti (SDG 4), dan bidang inovasi dalam menggalakkan perindustrian yang mampan (SDG 9).

UiTM Cawangan Sarawak juga komited dalam meluaskan jaringan akademik antarabangsa melalui program mobiliti seperti ini yang tidak hanya memperkasa pelajar dari segi akademik, malah mempersiapkan mereka sebagai graduan holistik, berdaya saing dan berwawasan global.