UiTM Samarahan 2 Raikan Polis Bantuan Sempena Aidilfitri

KOTA SAMARAHAN, 27 Mac 2025 – UiTM Kampus Samarahan 2 telah menyampaikan sumbangan hamper raya kepada anggota Polis Bantuan sebagai tanda penghargaan atas komitmen mereka menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Majlis ringkas tetapi penuh makna ini disempurnakan oleh Penolong Rektor UiTM Kampus Samarahan 2, Profesor Madya Dr. Abdul Razak bin Abdul Kadir, di Pos Utama Polis Bantuan UiTM Kampus Samarahan 2 pada 26 Mac 2025.

“Kita sangat menghargai pengorbanan anggota Polis Bantuan yang tetap menjalankan tanggungjawab mereka semasa perayaan. Mereka adalah tulang belakang keselamatan kampus,” kata Profesor Madya Dr. Abdul Razak bin Abdul Kadir.

Sumbangan ini bertujuan menghargai anggota Polis Bantuan yang terus bertugas menjaga keselamatan kampus walaupun ramai yang sedang bercuti untuk pulang ke kampung halaman.

“Bagi anggota Polis Bantuan, tanggungjawab datang tanpa mengira masa atau musim. Apabila pengorbanan itu dihargai, walau dengan satu bungkusan kecil, ia memberi makna yang besar kepada mereka,” kata wakil UiTM Kampus Samarahan 2.