UCS Anjur Majlis Khatam Al-Quran: Pupuk Semangat Ukhuwah di Bulan Ramadan

Puncak Alam, 21 Mac 2025 – Unit Hal Ehwal Islam dengan kerjasama Unit Komunikasi Korporat UiTM Cawangan Selangor (UCS) telah berjaya menganjurkan Majlis Khatam Al-Quran, sebagai penutup program tadarus yang berlangsung sempena bulan Ramadan, bermula pada 3 Mac 2025 sehingga 20 Mac 2025.

Program tadarus Al-Quran telah melibatkan lebih 197 orang peserta terdiri daripada staf UCS Kampus Puncak Alam, Kampus Puncak Perdana, Kampus Sungai Buloh dan staf fakulti. Majlis diserikan dengan kehadiran YBrs. Profesor Dr Ahmad Taufek Abdul Rahman, Rektor UCS yang mengetuai majlis khatam, dan turut menyempurnakan penyerahan cenderamata kepada peserta tadarus.

Penganjuran majlis ini bukan sahaja menjadi simbolik kepada penyempurnaan sesi tadarus, tetapi juga mencerminkan usaha berterusan UiTM dalam memupuk kecintaan terhadap Al-Quran dalam kalangan warganya. Program ini telah memberikan peluang kepada staf untuk bersama-sama menghayati keindahan bacaan Al-Quran, memperkukuh ilmu serta mengeratkan ukhuwah dalam suasana penuh keberkatan. Ia juga sejajar dengan nilai-nilai murni yang diterapkan UiTM dalam melahirkan modal insan yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah berakhlak mulia dan berpegang teguh kepada ajaran Islam.

Inisiatif seperti ini wajar diteruskan dan diperluaskan lagi pada masa hadapan bagi memberi manfaat kepada lebih ramai warga kampus. UiTM Cawangan Selangor membuktikan komitmennya dalam memperkukuh aspek kerohanian dengan menjadikan Ramadan sebagai platform untuk menggalakkan amalan membaca dan memahami Al-Quran. Semoga program sebegini terus menjadi tradisi yang memperkaya pengalaman spiritual dalam kalangan warga UiTM, sekaligus menyemai semangat kebersamaan dan keinsafan dalam menjalani ibadah sepanjang bulan yang mulia ini.

Penulis: Noor Rashidah A. Rahman (UHEI), Inarah Ajhar & Unit Komunikasi Korporat
Editor: Nor Azyyati Md Saad