Puncak Alam, 19 Mac 2025 – Unit Hal Ehwal Islam UiTM Cawangan Selangor sekali lagi berjaya menganjurkan Rewang Bubur Lambuk Perdana UCS 2025. Proses memasak bubur lambuk telah melibatkan kerjasama 62 orang staf selaku sukarelawan. Sebanyak 5 periuk dengan anggaran 2000 bekas bubur lambuk telah diedarkan kepada warga kampus.
Simbolik penyerahan bubur lambuk telah disempurnakan oleh YBrs. Profesor Dr Ahmad Taufek Abdul Rahman, Rektor UiTM Cawangan Selangor, dengan dihadiri oleh ketua PTJ, dekan fakulti dan wakil. Rewang kali ini turut dimeriahkan dengan penyertaan Hospital Al-Sultan Abdullah dengan sumbangan 3 periuk bubur lambuk yang diagihkan kepada pesakit dan staf, serta komuniti setempat.
Program ini bukan sahaja mengekalkan tradisi penyediaan bubur lambuk sebagai sebahagian daripada budaya Ramadan, tetapi juga mengukuhkan semangat kerjasama dalam kalangan warga UiTM. Inisiatif seperti ini mencerminkan usaha berterusan UiTM dalam memupuk nilai kasih sayang, semangat sukarelawan serta kebersamaan yang erat antara staf dan masyarakat sekitar.
Diharapkan program sebegini dapat diteruskan dan diperluaskan pada masa akan datang agar manfaatnya terus dirasai oleh lebih ramai pihak serta menyemarakkan lagi semangat perpaduan dalam kalangan komuniti UiTM.
Penulis: Nor Azyyati Md Saad, Inarah Ajhar & Unit Komunikasi Korporat
Editor: Nor Azyyati Md Saad