UiTM Seri Iskandar Anjur Seminar “Kepentingan Lembaga Rayuan kepada Orang Awam yang Terkilan”

SERI ISKANDAR, 19 Mac 2025 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak, Kampus Seri Iskandar, telah menganjurkan seminar bertajuk “Kepentingan Lembaga Rayuan kepada Orang Awam yang Terkilan” pada 24 Januari 2025.

Seminar yang diadakan di Dewan Kuliah Al-Khawarizmi ini dianjurkan oleh Jabatan Pengajian Alam Bina dan Teknologi, Kolej Alam Bina, dan melibatkan pelajar kursus TPR581 (Planning Law) dan TPR582 (Professional Ethics).

Gs. Dr Nor Eeda Haji Ali dijemput sebagai panel penceramah untuk berkongsi ilmu berkaitan Lembaga Rayuan, iaitu badan yang mengendalikan pertikaian antara Pihak Berkuasa Perancang Tempatan dan orang awam yang terkilan dengan keputusan pihak berkuasa tersebut.

“Seminar ini memberi gambaran kepada pelajar tentang jenis-jenis rayuan yang boleh dibuat, termasuk rayuan terhadap keputusan Kebenaran Merancang, syarat yang dikenakan, keputusan pemilik tanah berjiran, amaun pampasan, dan notis rekuisisi,” kata wakil penganjur.

Pelajar turut diberi contoh kes sebenar yang berlaku di Lembaga Rayuan bagi memantapkan pemahaman mereka.

“Sesi soal jawab yang berlangsung memberi peluang kepada pelajar untuk mengemukakan soalan dan mendapatkan pencerahan daripada penceramah,” tambah wakil penganjur.

Seminar ini mendapat sambutan yang hebat daripada pelajar Diploma dan Sarjana Muda serta pensyarah.

“Seminar ini diharapkan dapat mencapai matlamat pembangunan profesion perancangan bandar yang dapat mewujudkan suasana hidup yang sempurna dan harmoni,” kata wakil penganjur.