Puncak Alam, 16 Mac 2025 – UiTM Cawangan Selangor berbesar hati menjadi tuan rumah bagi Latihan Berterusan dan Latihan Kem Tahunan PALAPES UiTM 2025 yang telah bermula sejak 23 Februari 2025. Majlis Perbarisan Penutup Latihan yang disempurnakan oleh Kepten (K) Professor Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin PSSTLDM, Naib Canselor UiTM merangkap Komandan PALAPES UiTM, bertempat di Padang Kawad Kampus Puncak Alam telah melibatkan seramai 580 orang terdiri daripada Pegawai, Jurulatih, Staf dan Pegawai Kadet Palapes UiTM.
Hadir menyantuni majlis adalah YBhg Kolonel Haji Ridzwan Shoib, Komander Rejimen 502 Askar Wataniah, YBrs. Profesor Dr Ahmad Taufek Abdul Rahman, Rektor UiTM Cawangan Selangor selaku tuan rumah, bersama barisan pengurusan kanan UiTM. Majlis diakhiri dengan Berbuka Puasa Bersama Komandan PALAPES UiTM. Diharapkan latihan ini dapat membentuk anggota PALAPES UiTM yang berdisiplin, berkepimpinan, dan berwibawa.
Usaha ini bukan sahaja memperkukuh kemahiran dan disiplin peserta, tetapi juga mencipta semangat kerjasama dan kepimpinan di kalangan anggota PALAPES. Impak daripada program ini diharapkan dapat melahirkan pemimpin masa depan yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, tetapi juga mempunyai jati diri dan tanggungjawab sosial. Dengan sokongan berterusan daripada pihak pengurusan, PALAPES UiTM akan terus menjadi platform yang efektif dalam membentuk generasi yang berwibawa dan mampu menghadapi cabaran semasa.
Penulis: Nor Azyyati Md Saad, Inarah Ajhar & Unit Komunikasi Korporat
Editor: Nor Azyyati Md Saad