SERI ISKANDAR, 20 Februari 2025 – UiTM Cawangan Perak Kampus Seri Iskandar, melalui Jabatan Grafik dan Media Digital, Kolej Pengajian Seni Kreatif (KPSK), telah menganjurkan pameran “Animated Revivals: P. Ramlee” pada 19 Februari 2025.
Pameran ini menampilkan projek akhir pelajar Semester 3, program Diploma Seni Lukis dan Seni Reka (Seni Reka Grafik dan Media Digital), yang menghasilkan reinterpretasi visual filem-filem ikonik P. Ramlee dalam format animasi.
“Pelajar menghasilkan poster filem konseptual dan barangan koleksi eksklusif yang membayangkan adaptasi karya lagenda ini dalam animasi,” kata wakil penganjur.
Pelajar dibimbing oleh pensyarah Ashraf bin Abdul Rahaman dan Wan Nur Fathiyyah binti Wan Abdul Hamid, dan penilaian dilakukan oleh penilai luar, Intan Nur Firdaus binti Muhammad Fuad dan Junid Syazji bin Basharuddin.
“Pameran ini bukan sahaja platform pelajar mempersembahkan kreativiti, tetapi juga bukti keupayaan menterjemahkan warisan filem Malaysia ke medium baharu,” tambah wakil penganjur.
Melalui projek ini, pelajar mempelajari teknik artistik, penyelidikan, pembangunan konsep, dan penjenamaan dalam industri seni kreatif.
“UiTM terus membuktikan komitmen menyediakan pengalaman pembelajaran holistik dan relevan, melahirkan generasi pereka grafik yang bersedia untuk industri,” kata wakil penganjur.