Kuala Pilah, 13 Mac 2025 – Persatuan Bahasa Arab UiTM Kampus Kuala Pilah telah berjaya menganjurkan program PBA Bonding Bliss yang bertujuan untuk mengeratkan hubungan dan memperkukuh ikatan antara ahli-ahli persatuan. Program yang berlangsung pada 5 Januari 2025 di padang UiTM Kampus Kuala Pilah dan disertai oleh seramai 31 pelajar serta dua penasihat Persatuan Bahasa Arab UiTM Kampus Kuala Pilah.
Program ini menampilkan pelbagai aktiviti menarik yang telah dilaksanakan oleh lajnah akademik, sukan, rekreasi, dan kebudayaan Persatuan Bahasa Arab. Aktiviti-aktiviti seperti permainan team-building, latihan kemahiran interpersonal, dan sesi komunikasi interaktif dirancang untuk memupuk kerjasama, kreativiti, dan kemahiran kepimpinan dalam kalangan peserta. Objektif utama program ini adalah untuk meningkatkan kerjasama, memperbaiki komunikasi dalaman, serta membina semangat kepimpinan dalam kalangan ahli persatuan.
Antara aktiviti menarik yang dijalankan termasuk Mata Hati, Musang Berjanggut, Langkah Bijak, In Out, Belon Air Berantai, dan Volleybelon. Setiap aktiviti direka untuk menguji kerjasama dan kebijaksanaan peserta dalam menyelesaikan tugasan. Aktiviti-aktiviti ini juga memberikan peluang kepada peserta untuk berkenalan sesama mereka dengan lebih rapat serta memantapkan kemahiran komunikasi, kepimpinan dan kemahiran bekerja dalam pasukan.
Program ini berakhir dengan aktiviti potluck, penyampaian hadiah kepada pemenang, dan sesi bergambar untuk kenangan. Program seperti ini diharap dapat memberi manfaat kepada peserta dengan memperkukuh ukhuwah dalam kalangan ahli persatuan dan menghargai komitmen yang telah diberikan peserta kepada kemajuan persatuan. Di samping itu, ia juga memberikan pengalaman berharga dalam menjayakan program bersama rakan-rakan persatuan.
Dengan kejayaan program ini, Persatuan Bahasa Arab UiTM Kampus Kuala Pilah berharap dapat terus mengadakan aktiviti seumpama ini bagi memperkukuhkan hubungan antara ahli serta membentuk pemimpin-pemimpin masa hadapan yang berkualiti.
Disediakan oleh: Norshida Hashim & Dr. Syahirah Almuddin