KUCHING, 12 Mac 2025 – Pengurusan Eksekutif Universiti Teknologi MARA Cawangan Sarawak (UiTMCS) telah mengadakan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg, di pejabat rasminya di Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya, Kuching pada 10 Mac 2025.
Dalam pertemuan tersebut, Rektor UiTMCS, Prof. Dr. Firdaus Abdullah, mencadangkan agar program pendidikan percuma Kerajaan Sarawak diperluas kepada pelajar Sarawak yang menuntut di IPTA, khususnya di UiTMCS.
“Secara dasarnya, YAB Premier Sarawak bersetuju dengan cadangan ini, khususnya untuk membangunkan tenaga kerja mahir di UiTMCS,” kata wakil UiTMCS.
UiTMCS turut menawarkan bantuan kepada Kerajaan Sarawak dalam transformasi bidang agrikultur, dengan mencadangkan Kampus Mukah dijadikan hab penanaman padi moden.
“UiTMCS akan menubuhkan pasukan penyelidikan untuk mengkaji dan mencadangkan teknologi dan infrastruktur penanaman padi kepada Kerajaan Sarawak,” tambah wakil UiTMCS.
Premier Sarawak juga mencadangkan UiTMCS membangunkan makmal penyelidikan dan pembangunan alga di Kampus Mukah.
Selain itu, UiTMCS mencadangkan penubuhan Kursi Tun Openg History and Heritage (TOHHa) untuk mengkaji sejarah dan kebudayaan Sarawak pra-penjajahan.
“YAB Premier Sarawak secara dasarnya bersetuju dengan idea penubuhan Kursi TOHHa ini,” kata wakil UiTMCS.
Penulis: Mohammad bin Abang & Yaziz bin Kasim