KOTA KINABALU, 6 Mac 2025 – Majlis Amanat Rektor UiTM Cawangan Sabah telah berlangsung di Dewan Al Bukhari, Ujana Sarjana, UiTM Cawangan Sabah pada 26 Februari 2025. Majlis yang diadakan secara hibrid ini turut disiarkan secara langsung di Facebook Rasmi UiTM Cawangan Sabah.
Seramai 400 staf menghadiri majlis secara fizikal, manakala selebihnya mengikuti secara dalam talian, termasuk warga UiTM Cawangan Sabah Kampus Tawau. Rektor UiTM Cawangan Sabah, Profesor Madya Dr Rozita @ Uji Mohammed, menyeru warga kampus untuk bersatu padu mencapai matlamat organisasi dan memacu kecemerlangan.
“Tahun 2024 telah melakar sejarah dan pelbagai kejayaan bagi warga UiTM Cawangan Sabah,” kata Rektor dalam amanatnya. Beliau turut berkongsi pelan tindakan jangka pendek dan panjang, serta melancarkan Video Korporat UiTM Cawangan Sabah.
Majlis turut menampilkan peluncuran Video Korporat UiTM Cawangan Sabah yang memperkasa keunikan kampus dan keindahan Negeri Sabah. Beberapa kaunter Khidmat Pelanggan (Bahagian Pentadbiran, Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Bahagian Kewangan, Kaunter Sedekah, PEWANI, PSKK dan Persatuan dalaman kampus) juga dibuka bagi memberi peluang kepada staf untuk bertemu pelanggan dan mendapatkan maklumat terkini berkenaan perkhidmatan yang disediakan.