Pameran “Anatomica” UiTM Puncak Alam Papar Ilustrasi Saintifik Berkualiti Tinggi

PUNCAK ALAM, 5 Mac 2025 – Pameran ilustrasi saintifik “Anatomica” yang menampilkan karya pelajar Ijazah Sarjana Muda Seni Reka Grafik & Media Digital (CAAD241) telah berjaya diadakan di Bilik Presentasi Grafik, UiTM Cawangan Selangor Kampus Puncak Alam pada 22 Januari 2025.

Pameran ini merupakan projek akhir bagi subjek GDI696: Imajeri Saintifik dan disertai oleh 17 pelajar tahun akhir. Ia bertujuan mempamerkan hasil karya pelajar dalam bidang ilustrasi saintifik, menggabungkan seni dan sains, serta menilai kreativiti dan kemahiran teknikal mereka.

“Anatomica” memaparkan ilustrasi anatomi flora, fauna, dan mikroorganisma yang dihasilkan melalui kajian mendalam dan teknik ilustrasi manual serta digital. Pameran ini merupakan sebahagian daripada Projek Akhir GDI696 yang merangkumi penghasilan e-Buku ilustrasi saintifik dan pameran mini.

“Pameran ini berjaya meningkatkan kesedaran tentang kepentingan ilustrasi saintifik dalam pendidikan dan penyelidikan,” kata wakil penganjur.

Pameran “Anatomica” mendapat sambutan menggalakkan daripada warga akademik, pensyarah, dan pelajar. Ia berjaya mencapai objektifnya sebagai platform untuk pelajar menonjolkan bakat dan memperkukuhkan bidang ilustrasi saintifik.