RAUB, 5 Mac 2025 – Seramai 38 kanak-kanak berusia 6 hingga 12 tahun menyertai program “Seronoknya Ramadan” yang berjaya diadakan di Masjid Al-Hidayah, Sg. Lui, Raub, Pahang pada 23 Februari 2025.
Program yang dianjurkan oleh pensyarah Akademi Pengajian Bahasa, UiTM Cawangan Pahang Kampus Raub dengan kerjasama Jawatankuasa Surau Al-Hidayah dan Kebajikan Kampung Lui ini bertujuan memupuk nilai-nilai Islam dan kreativiti dalam kalangan kanak-kanak.
“Selari dengan hasrat UiTM yang menekankan kepentingan ilmu berteraskan nilai-nilai Islam, program ini dirancang untuk memberi impak positif kepada generasi muda,” kata wakil penganjur.
Program dimulakan dengan ceramah bertajuk “Seronoknya Ramadan” oleh Ustaz Abdul Salihin bin Mohd Safary, diikuti dengan aktiviti “Treasure Hunt” yang menguji kefahaman peserta tentang hukum tajwid, teka gambar, teka silang kata, padanan sirah, dan membina struktur jambatan menggunakan straw.
“Aktiviti-aktiviti ini bukan sahaja menyeronokkan, tetapi juga mendidik peserta tentang sejarah Islam dan mengasah kemahiran berfikir kreatif,” tambah wakil penganjur.
Program yang bermula dari 8.30 pagi hingga 2.00 petang ini dirasmikan oleh Pengerusi Surau Al-Hidayah, Cikgu Shamsul Baharin bin Yusoff.
Penganjur berharap program ini dapat menjadi titik tolak kepada lebih banyak inisiatif kerjasama antara universiti dan masyarakat.
Siti Aisyah Bt Mazlan, Hasmiza Bt Abdul Majeed, Dr. Maimanah Binti Samsuri