UiTM Dengkil Bina Potensi Pemimpin Pelajar SMA Nilai melalui Program ‘Level-Up’

Nilai, 3 Mac 2025 – Seramai empat pensyarah dan 29 ahli Kelab Khidmat Masyarakat Pusat Asasi UiTM Kampus Dengkil berjaya menganjurkan program Level-Up Your Potential Power bersama pelajar pemimpin Sekolah Menengah Agama Nilai pada 11 Januari 2025. Program ini bertujuan memperkasa pelajar dengan kemahiran kepimpinan, komunikasi, dan pemikiran kritis.

Program ini merangkumi dua slot utama: Leadership in Me dan Communication Skill Talk. Slot pertama dikendalikan oleh Puan Sharifah Shatrah binti Syed Hamid, pensyarah Undang-Undang, yang menekankan konsep kepimpinan untuk membantu pelajar mengenali dan mengembangkan potensi diri. Slot kedua dipimpin oleh tiga pensyarah Akademi Pengajian Bahasa, iaitu Puan Sri Fitriaty binti Mohd Kenali, Puan Rasyiqah binti Md Zolkapli, dan Puan Nurul Farhanah binti Abdul Hadi, yang membincangkan kemahiran komunikasi berkesan.

Melalui program ini, pelajar SMA Nilai berjaya meningkatkan pemahaman tentang kepimpinan dan keyakinan dalam berkomunikasi, manakala ahli Kelab Khidmat Masyarakat UiTM pula berpeluang mengasah kemahiran insaniah seperti pengurusan projek, komunikasi, dan kerja berpasukan. Program ini disokong sepenuhnya oleh Pengurusan Pusat Asasi UiTM Kampus Dengkil dan diharap dapat diteruskan pada masa depan sebagai sebahagian komitmen UiTM dalam memperkukuh hubungan antara institusi pendidikan tinggi dan komuniti setempat.