Melaka, 26 Februari 2025 – Pelajar Sarjana Muda Perniagaan Pengurusan Sumber Manusia Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Melaka Kampus Bandaraya, dengan kerjasama Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Tuah (SMK Tun Tuah), telah berjaya melaksanakan projek pembangunan kemahiran mencari peluang pekerjaan bagi pelajar Tingkatan 6 di sekolah tersebut.
Projek yang berlangsung selama hampir tiga bulan, dari 24 Oktober 2024 hingga 14 Januari 2025, melibatkan 64 pelajar SMK Tun Tuah dan 12 pelajar UiTM Bandaraya Melaka sebagai fasilitator. Ia merupakan sebahagian daripada penilaian subjek Pemerolehan Bakat yang diambil oleh pelajar UiTM, memberi mereka pengalaman praktikal dalam bidang pengambilan bakat dan kebolehkerjaan.
Projek ini memberi tumpuan kepada pemahaman proses pengambilan pekerja, penyediaan resume, persiapan temu duga, serta strategi mencari bakal majikan. Selain itu, peserta turut dilatih dalam mengenal pasti minat, aspirasi, dan kemahiran untuk merancang kerjaya yang sesuai. Inisiatif ini juga memperkukuh hubungan UiTM dengan komuniti setempat dan menyumbang kepada pembangunan tenaga kerja berkualiti di masa depan.
Kerjasama ini menunjukkan bahawa pendidikan bukan hanya akademik, tetapi usaha berterusan dalam melahirkan individu berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran dunia pekerjaan.