Seri Iskandar, 18 Januari 2025 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) menerusi Kampus Hijau telah dijemput bagi melaksanakan Program Ceramah & Bengkel Kelestarian Alam oleh penganjur Persatuan Suri Rumah Rahmah Malaysia dan Kementerian Pembangunan Wanita. Program Ceramah & Bengkel Kelestarian Alam: Suri 3R “Langkah Kecil Impak Besar” yang diadakan di Bilik Seminar Orchid 2, Tingkat 3, D’Hotel, Bandar Seri Iskandar Perak dapat membantu usaha kerajaan dalam mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2030 dengan penyertaan seramai 35 peserta di pelusok negeri Perak. Program ini telah berkongsi tentang insiatif terkini kerajaan pada perkara 12.5 mensasarkan pengurangan penjanaan sisa secara signifikan melalui pencegahan, pengurangan, kitar semula dan penggunaan semula menjelang 2030.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Pn Siti Suzilah Saini, Timb Presiden Persatuan Suri Rumah Rahmah Malaysia yang menekankan betapa pentingnya program ini dalam membimbing suri rumah muda berperanan dalam Masyarakat dan komitmen UiTM terhadap pendidikan dan tanggungjawab sosial dalam menyumbang kepada pembangunan komuniti. Ceramah Kelestarian Alam oleh Gs. Dr. Nor Eeda Haji Ali lebih kepada Pengurusan Sisa Pepejal Amalan 3R dan Kesan kepada Masyarakat. Sejurus itu, dua bengkel yang dijalankan daripada bahan kitar semula. Bengkel Pertama: Sabun dari Minyak Masak Terpakai oleh tenaga pengajar Pn Hairulnisak Merman dan Bengkel Kedua: Baja Organik dari Sisa Dapur oleh tenaga pengajar Pn Rosmawati Abdul Aziz.
Bengkel ini diadakan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai gaya hidup sihat serta kesejahteraan alam sekitar. Produk sabun dari minyak masak terpakai dihasilkan bagi mengurangkan sisa pepejal di kawasan pelupusan dan bertujuan untuk menjimatkan perbelanjaan untuk menghasilkan bahan yang bermanfaat. Membuat kompos adalah cara semula jadi bahan organik dikitar semula. Ianya adalah proses di mana bahan-bahan organik direputkan oleh mikroorganisma dalam keadaan beroksigen. Hasilnya, proses pengkomposan ini akan menguntungkan alam sekitar sebagai baja semulajadi.
Justeru itu, program ini diperkenalkan sebagai langkah jangka panjang untuk membentuk sikap positif masyarakat terhadap kitar semula. Dapatan menunjukkan bahawa suri rumah telah memahami dan menyedari kepentingan Kelestarian Alam serta Program Kitar Semula dan semoga ianya dapat mempratikkan amalan.
Penulis : Gs Dr Nor Eeda Haji Ali, Pn Hairulnisak Merman, Pn Rosmawati Abdul Aziz dan Gs Dr Nurain Mohd Talmizi