Dengkil, 17 Februari 2025 – Pusat Asasi UiTM, dengan kerjasama Pusat Bimbingan Alternatif Cinta Syria Malaysia, telah mengadakan tiga siri program ASiD Glocal Volunteerism yang bertujuan memperkasakan pendidik di kalangan pelarian Syria dan meningkatkan motivasi kanak-kanak pelarian untuk belajar.
Program ini melibatkan pensyarah UiTM yang memberi kursus kompetensi dan pedagogi kepada guru-guru Pusat Bimbingan Alternatif Cinta Syria, serta aktiviti Kem Bahasa Inggeris dan Taman Inovasi yang disertai oleh 51 fasilitator pelajar dan lebih 70 kanak-kanak pelarian. Sepanjang 8 bulan program, 8 modul latihan guru telah diselesaikan, dan 15 guru menerima sijil tamat latihan.
Pengarah program, Irwan Affendi Md Naim, berkata program ini memberi pendedahan kepada mahasiswa tentang isu pendidikan global, terutamanya dalam kalangan pelarian. Majlis penutupan program dirasmikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Syria Malaysia, En. Ahmad Musa Al-Nuwayri, yang menekankan pentingnya kerjasama antara universiti dan NGO dalam membantu komuniti pelarian.
Program ini selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (UN-SDG) yang memberi tumpuan kepada pendidikan berkualiti dan pengurangan ketidaksetaraan.