APB dan ALEPS Berganding Bahu Dalam Peraduan Pidato Jepun ALEPS ke-6 2025

KUALA LUMPUR, 19 Januari 2025 – Peraduan Pidato Jepun ALEPS ke-6 2025 telah berjaya diadakan di Pusat Asasi Sains, Universiti Malaya (PASUM) pada 18 Januari 2025. Acara tahunan anjuran Alumni Look East Policy Society (ALEPS) ini disertai oleh pelajar dari empat Program Persediaan Bahasa Jepun.

Muhammad Khairul Iman Sanuddin dari UniKL-JUP dinobatkan sebagai juara dengan pidatonya bertajuk “Tensai Toiu Gensou” (Ilusi Genius). Tempat kedua dan ketiga masing-masing dimenangi oleh Nur Kaisah Mohd Khairul dan Puteri Rusayla Amnah Mohd Rubadlisham.

Peraduan ini turut menyaksikan penglibatan 12 sukarelawan dari Akademi Pengajian Bahasa (APB), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, yang membantu melancarkan perjalanan program.

Selain pemenang utama, Anugerah Khas Kizuna diberikan kepada Immanuel Sim Jun Hui dari INTEC, dan pasukan penyokong AAJ dinobatkan sebagai Penyokong Terbaik.

Program ini dimeriahkan dengan sumbangan hadiah daripada pelbagai penaja seperti The Japan Foundation Kuala Lumpur (JFKL), Dream Language Academy (DLA), H.I.S. Travel (M) Sdn. Bhd., dan Kizuna Malaysia.

Acara ini berjaya memupuk minat dan bakat dalam pidato Bahasa Jepun serta memperkukuh hubungan strategik antara UiTM dan ALEPS.