ARAU PERLIS, 10 Januari 2025 – Persatuan Belia Harmoni UiTM Cawangan Perlis dengan kerjasama Sekolah Kebangsaan Kubang Gajah, Perlis meneruskan siri kedua Program Bantu Baca Sinar Bestari bagi tahun 2024 dan 2025 yang bermula pada 25 Oktober 2024 sehingga 10 Januari 2025. Program ini masih mengekalkan objektif utama untuk membantu murid sekolah rendah yang keciciran dalam kemahiran membaca dan menulis serta membantu guru mempercepatkan proses pemulihan murid-murid ini.
Program kali ini dibahagikan kepada 7 sesi pembelajaran dan seramai 27 orang murid Kelas Pemulihan yang terdiri dari murid darjah 2 hingga darjah 4 telah terlibat dalam menjayakan program ini. Murid dibahagikan kepada beberapa kumpulan mengikut tahap kebolehan membaca masing-masing pada setiap sesi. Setiap kumpulan ini akan dibantu oleh seorang fasilitator yang terdiri daripada 10 orang mahasiswa bagi setiap sesi pembelajaran dengan penglibatan keseluruhan 45 orang mahasiswa dari Persatuan Belia Harmoni, UiTM Perlis.
Menurut Puan Wan Noraini Wan Mat selaku guru kelas Pemulihan Sekolah Kebangsaan Kubang Gajah, sepanjang program bantu baca ini dijalankan daripada jumlah 27 orang murid yg mengikuti kelas pemulihan, seramai 17 orang murid telah berjaya menguasai kemahiran asas ini dalam tempoh yang singkat dan seterusnya layak menyertai rakan-rakan mereka yang lain di kelas arus perdana. Suatu pencapaian yang agak sukar dijayakan oleh pihak sekolah dalam tempoh yang sama sekiranya tanpa bantuan daripada program bantu baca ini. Beliau amat berbangga dan berterima kasih atas inisitif ini.
Dengan sokongan dan kerjasama daripada pihak sekolah, ibu bapa dan murid-murid, secara keseluruhan Program Bantu Baca Sinar Bestari 2.0 ini telah berjaya mencapai objektif yang dikehendaki dan akan diteruskan lagi pada masa akan datang untuk memberi manfaat yang maksimum bagi membendung masalah keciciran murid sekolah serta memberdayakan mahasiswa UiTM cakna dan prihatin.
Penulis utama : Nor Hayati Shafii dan Norha Abdul Hadi