SHAH ALAM, 18 Februari 2025 – Fakulti Sains Sukan & Rekreasi (FSR), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, telah menganjurkan program “Comprehensive Rugby Coaching Through the Eyes of Rugby 7’s Expert” pada 9 Januari 2025. Program yang diadakan secara dalam talian melalui platform Google Meet ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada pelajar mengenai ilmu kejurulatihan ragbi daripada perspektif jurulatih profesional.
Program ini dianjurkan oleh pelajar kursus Applied Coaching in Sports (SPS655) sebagai sebahagian daripada kaedah Collaborative Teaching yang diterapkan oleh FSR. Ia menampilkan Encik Mohd Saizul Hafifi Md Noor, bekas jurulatih pasukan ragbi 7’s kebangsaan, sebagai panel jemputan utama.
Encik Mohd Saizul berkongsi pengalaman dan kepakarannya dalam periodisasi latihan, pemantauan prestasi atlet, dan strategi mengurangkan risiko kecederaan. Beliau turut menekankan kepentingan perancangan sesi latihan yang mengambil kira faktor fisiologi dan psikologi atlet, serta komunikasi berkesan antara jurulatih dan pemain.
“Program seperti ini sangat bermanfaat kerana ia membuka ruang pembelajaran yang lebih praktikal dan realistik,” kata seorang pelajar yang terlibat.
FSR berharap program ini dapat melahirkan tenaga pakar dalam industri sukan yang kompeten dan berdaya saing di peringkat nasional dan antarabangsa.