Taiping, 5 Januari 2025 – Seramai 40 orang pelajar dan empat pensyarah dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak Kampus Seri Iskandar telah menyertai program University Social Responsibilities (USR) bertajuk Trescue! 2.0 di Zoo Taiping, Perak. Program anjuran Town and Regional Planning Society (TRiPS) di bawah Jabatan Perancangan Bandar & Wilayah, UiTM Cawangan Perak ini bertujuan memupuk semangat kesukarelawanan dalam kalangan pelajar serta meningkatkan kesedaran terhadap pemeliharaan alam sekitar.
Para peserta diberikan tanggungjawab membersihkan beberapa kawasan dalam zoo serta membantu dalam penyediaan makanan untuk haiwan. Selain menjalankan kerja-kerja pembersihan dan penjagaan haiwan, mereka turut berpeluang menerokai kawasan zoo dan berinteraksi secara langsung dengan pelbagai spesies haiwan, memberikan pengalaman yang bermakna kepada mereka.
Menurut Penasihat TRiPS, Dr. Muhamad Ferdhaus Sazali, “Aktiviti seperti ini bukan sekadar memberi pendedahan tentang khidmat masyarakat, tetapi juga menanamkan rasa syukur serta penghargaan terhadap keindahan dan kepelbagaian ciptaan Tuhan. Para peserta turut memperoleh pengetahuan tambahan daripada fasilitator yang terdiri daripada pegawai serta kakitangan Zoo Taiping”.
Sementara itu, Pengarah Program, Nazartul Maryam Khairudin, menyifatkan pengalaman menganjurkan Trescue! 2.0 sebagai satu peluang yang amat berharga. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak Zoo Taiping & Night Safari atas kesudian berkolaborasi dalam program ini, yang bukan sahaja memberikan manfaat kepada para peserta, malah turut menyumbang kepada kesejahteraan komuniti serta kelestarian alam sekitar.
Kejayaan Trescue! 2.0 diharapkan dapat menjadi pencetus kepada lebih banyak inisiatif kesukarelawanan pada masa hadapan, sekali gus memberi inspirasi kepada pelajar untuk terus terlibat dalam aktiviti yang bermanfaat dan menyumbang kepada masyarakat serta persekitaran.