SHAH ALAM, 5 Januari 2025 – Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik, dan Matematik (KPPIM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah berjaya menganjurkan Bengkel Modul Aspirasi Usaha Takwa Mulia (UTAMA) , sebuah inisiatif strategik yang berlangsung di dua kampus, iaitu Kampus Puncak Perdana dan Kampus Shah Alam. Program ini bertujuan untuk memperkasakan pelajar KPPIM dengan pengetahuan dan kemahiran yang relevan dengan program yang dipelajari, seiring dengan matlamat strategik UiTM 2025 yang menekankan konsep Usaha, Takwa, dan Mulia. Seramai 791 orang pelajar dari kedua-dua kampus bersama fasilitator telah menyertai program ini. Program ini merupakan platform bagi membentuk pemikiran global dan jati diri yang teguh dalam kalangan mahasiswa UiTM serta medan perkongsian pengalaman serta perbincangan bagi meningkatkan kecemerlangan akademik.
Program ini merangkumi enam modul utama yang dirangka khas untuk membentuk mahasiswa berdaya saing dan berkemahiran tinggi iaitu Modul Asas DNA UiTM, Modul Celik Fikir, Modul Kesihatan Mental, Modul Asas Keselamatan Negara, Modul Jiwa UiTM, dan Modul Kecemerlangan dan Kemandirian Mahasiswa. Pelaksanaan modul ini dilakukan secara bersemuka untuk menggalakkan interaksi aktif dan perbincangan dinamik dalam kalangan peserta. Pendekatan ini memastikan mahasiswa terlibat secara langsung dalam pembelajaran serta menjadikannya lebih bermakna dan efektif.
KPPIM terus komited dalam menyediakan pengalaman pembelajaran berkualiti tinggi, sejajar dengan aspirasi UiTM untuk melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang secara akademik, tetapi jugaberdaya tahan, berpandangan jauh, dan berintegriti. Melalui Modul Aspirasi UTAMA, mahasiswa dididik untuk menguasai kemahiran insaniah dan kepimpinan, menjadikan mereka agen perubahan yang mampu menyumbang secara bermakna kepada masyarakat dan negara.
Dengan adanya inisiatif seperti ini, UiTM yakin bahawa mahasiswa hari ini akan menjadi pemimpin masa depan yang mampu membawa impak positif dalam pelbagai sektor. Diharapkan Modul Aspirasi UTAMA akan terus menjadi pemangkin dalam membentuk generasi yang berwibawa, progresif, dan berpandangan global. Ini seiring dengan aspirasi Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) keempat dan ke-11 iaitu pendidikan berkualiti, serta bandar dan komuniti mampan.
Penulis:Aisyah Nadiah Badrul Hisham, Syafiqah Sonny, Kasmarini Baharuddin, Yuzi Mahmud dan Jafalizan Md. Jali
Editor: Farahnatasyah & KPPIM News Team