Webinar Pengurusan Transformasi Digital Berjaya Dijalankan di UiTM Cawangan Selangor

Puncak Alam, 10 Januari 2025 – Ahli Jawatankuasa Pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Teknologi Perniagaan kumpulan BA2623C, Jabatan Pengurusan Teknologi dan Rantaian Bekalan, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan (FPP), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Selangor Kampus Puncak Alam telah berjaya menganjurkan sebuah webinar bertajuk “Webinar Pengurusan Transformasi Digital”.

Webinar ini diadakan untuk memberi kesedaran kepada pelajar tentang kepentingan peralihan ke pendigitalan yang efektif untuk meningkatkan kecekapan proses kerja. Penggunaan sistem digital yang semakin berkembang kini amat penting dalam ekosistem pembelajaran baharu, di mana transformasi digital di peringkat universiti dapat mengasah bakat dan melahirkan pelajar yang berimpak tinggi dalam dunia pekerjaan.

Penceramah jemputan, Encik Muhammad Amirul bin Azhar dari Nu Ideaktif, telah berkongsi pengalaman dan pengetahuan beliau mengenai Pengurusan Transformasi Digital. Antara topik utama yang dibincangkan adalah pemacu utama transformasi digital dan inovasi teknologi seperti kecerdasan buatan. Webinar ini memberi gambaran jelas kepada pelajar mengenai bagaimana transformasi digital boleh membantu sesebuah organisasi kekal berdaya saing dan relevan dalam pasaran global.

Webinar yang dijalankan melalui Microsoft Teams ini telah dihadiri oleh 91 peserta, termasuk ahli jawatankuasa program dan pelajar yang mengikuti Kursus Pengurusan Transformasi Digital (BTM532), serta pensyarah-pensyarah BTM532. Program selama dua jam itu diakhiri dengan sesi soal jawab yang memberi peluang kepada peserta untuk mendalami lebih lanjut tentang topik yang dibincangkan.

Penganjuran webinar ini selaras dengan aspirasi Malaysia Digital Economy Blueprint (MyDIGITAL) serta Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 4, iaitu Kualiti Pendidikan. Ini juga turut menyokong usaha Fakulti Pengurusan dan Perniagaan (FPP) untuk meningkatkan pencapaian universiti dan memperkukuhkan nama UiTM di peringkat global.

Ketua Pusat Pengajian Jabatan Pengurusan Teknologi dan Rantaian Bekalan, Ts. Dr. Ahmad Rais bin Mohamad Mokhtar, turut mengucapkan terima kasih kepada semua pelajar dan pensyarah yang telah bekerjasama dalam menjayakan program ini, sekaligus memberi impak positif kepada fakulti dan UiTM Cawangan Selangor.