SERI ISKANDAR, 7 Februari 2025 – UiTM Cawangan Perak telah menerima kunjungan rasmi daripada Universitas Negeri Malang (UM), Indonesia, pada 20 hingga 23 Januari 2025. Kunjungan ini bertujuan memulakan kerjasama strategik antara kedua-dua universiti.
Dua wakil dari UM, Professor Dr Imam Mukhlis dan Professor Dr Heri Pratikto, membincangkan pembentukan Memorandum Perjanjian (MOA) untuk kerjasama dalam pelbagai bidang, termasuk pertukaran pelajar, penyelidikan bersama, dan penerbitan.
“Kunjungan ini adalah langkah awal untuk menjalin persahabatan dan kerjasama, serta meluaskan jaringan antarabangsa antara kedua-dua universiti,” kata Professor Dr Imam Mukhlis.
UiTM Perak menyambut baik inisiatif ini sebagai peluang untuk meningkatkan keterlibatan di peringkat antarabangsa.
Sempena kunjungan ini, Program Perancangan Bandar dan Wilayah UiTM Perak menganjurkan Seminar Penyelidikan Bersama Antarabangsa dengan empat pembentangan tajuk berkaitan perancangan bandar, ekonomi, dan pelancongan halal.
“Seminar ini mencetuskan idea kolaborasi dalam bidang ekonomi dan pengajian alam bina,” kata Dr Lim Seng Boon, ketua program.
Kedua-dua institusi bersetuju untuk melaksanakan penulisan jurnal bersama dalam masa terdekat.
Penulis – Dr Syazwani binti Ahmad
Penulis Bersama – Dr Lim Seng Boon