KPPIM Perkukuh Jaringan Global di Forum Pendidikan Tinggi Malaysia-Uzbekistan

Tanjung Malim, 4 Februari 2025 – KPPIM berbesar hati menyertai Forum & Pameran Pendidikan Tinggi Malaysia-Uzbekistan yang berlangsung di Universiti Sultan Pendidikan Sultan Idris.  Forum ini telah dirasmikan oleh YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia. Forum Pendidikan Tinggi Malaysia-Uzbekistan menjadi platform strategik dalam memperkukuh hubungan akademik antara Malaysia dan Uzbekistan menerusi pertukaran MoU/MoA, sesi plenari serta perbincangan mengenai kolaborasi dalam penyelidikan dan pembangunan akademik.

Naib Canselor Universiti Teknologi MARA, YBhg Prof. Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib, tampil sebagai panelis dalam sesi forum bertemakan AI dan IR 5.0, berkongsi pandangan beliau mengenai impak teknologi baharu dalam membentuk landskap pendidikan dan masyarakat masa depan. Sesi forum ini menawarkan perspektif bernilai terhadap peranan AI dan Revolusi Industri 5.0 dalam memacu inovasi serta kemajuan sosio-ekonomi global.

Dalam usaha berterusan untuk mengukuhkan keterlibatan akademik di peringkat global, delegasi Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Matematik (KPPIM) yang diketuai oleh Ketua Pusat Pengajian Sains Matematik, Prof. Madya Dr. Ahmad Zia Ul-Saufie Mohamad Japeri, mengadakan perbincangan strategik bersama delegasi Tashkent University of Information Technologies. Perbincangan ini bertujuan meneroka peluang baharu dalam rangka kerja MoU sedia ada, memperkukuh kerjasama akademik, penyelidikan, serta program pertukaran akademik antara kedua-dua institusi.

Selain daripada aspek akademik, acara ini turut meraikan kepelbagaian budaya yang menghubungkan Malaysia dan Uzbekistan. Pameran pakaian tradisional, sajian autentik, serta persembahan seni yang memukau menjadi simbol kekayaan warisan budaya kedua-dua negara. Ini membuktikan bahawa pendidikan bukan sahaja medan ilmu tetapi juga jambatan yang menyatukan masyarakat dan memperkukuh hubungan antarabangsa.

Penyertaan KPPIM dalam forum ini mencerminkan komitmen UiTM dalam memperluas kolaborasi global dan memperkukuh jaringan akademik sejajar dengan aspirasi untuk menjadi universiti terkemuka yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

 

Penulis: Nurul Syaza Abdul Latif

Penulis Bersama: Nur ‘Izzati Hamdan