Webinar “Manusia: Dari Mana Akan Ke Mana?” Himpunkan Mahasiswa Dua Universiti

SEGAMAT, 16 Januari 2025 – Program Webinar bertema “Manusia: Dari Mana Akan Ke Mana?” dianjurkan sebagai usaha kolaborasi antara dua universiti untuk memenuhi subjek Pengantar Pembangunan Insan, Penghantar Etika dan Peradaban I serta Ilmu Falsafah dan Isu Semasa. Program ini mensasarkan mahasiswa di peringkat pra diploma, diploma dan ijazah sarjana muda dari Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, dan Kolej Pengajian Perkomputeran, Informatik dan Matematik.

Dalam dunia akademik yang semakin berkembang, kaedah pengajaran dan pembelajaran dalam pendidikan alaf 5.0 dilihat sebagai penting bagi memberikan kefahaman lebih mendalam kepada mahasiswa tentang topik yang diajar. Webinar ini bertujuan mendidik mahasiswa tentang matlamat hidup serta persiapan untuk menghadapi kehidupan di akhirat.

Program ini juga bertujuan untuk memperkukuh pembelajaran kolaboratif antara Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Johor Kampus Segamat dan Fakulti Pengajian Peradaban Islam, Universiti Islam Selangor (UIS), dengan harapan peserta dapat menerima ilmu baru melalui pengalaman pensyarah di peringkat kebangsaan.

Penceramah jemputan, Dr. Safinah binti Ismail dari UIS, menekankan bahawa setiap perjalanan manusia di muka bumi ini adalah bermakna dan berakhir dengan kematian. Beliau menyeru mahasiswa untuk terus menuntut ilmu hingga ke peringkat yang lebih tinggi.

Dr. Safinah turut menyatakan kegembiraannya terhadap sambutan aktif mahasiswa walaupun dalam format atas talian. Beliau berharap semangat yang ditunjukkan dapat memotivasi para peserta untuk terus beramal dan mencapai kejayaan di dunia dan akhirat.

Penulis bersama: Dr. Nurul Badriyah binti Ali dan Khadijah Amira binti Abdul Rashid