Jengka, 12 Januari 2025, Sabtu : Modul UTAMA ( Usaha, Taqwa, Mulia ) peringkat UiTM Cawangan Pahang Kampus Jengka telah berjaya dijalankan bertempat di Dewan Indera Segara UiTM Cawangan Pahang Kampus Jengka. Pelaksanaan modul ini telah dihadiri seramai 1203 mahasiswa yang terdiri daripada mahasiswa semester pertama (1) peringkat Diploma dan Ijazah Sarjana Muda. Modul UTAMA merupakan inisiatif Bahagian Hal Ehwal Pelajar Universiti Teknologi MARA sebagai pemulaan kepada perjalanan para mahasiswa sebagai warga UiTM yang berpegang secara taat dan patuh akan nilai teras universiti dengan sepenuh jiwa dan raga.
Modul UTAMA telah dijalankan dengan bantuan fasilitator bertauliah dan urusetia mahasiswa melalui pendekatan interaktif dan holistik melibatkan pelbagai aktiviti yang menggabungkan elemen akademik, spiritual, psikologi dan pembangunan insaniah. Para mahasiswa juga didedahkan dengan nilai tanggungjawab, semangat berkumpulan dan kemahiran kritis serta kreatif dalam menyelesaikan setiap aktiviti yang dijalankan. Agenda paling utama ialah setiap aktiviti yang dijalankan seiring dengan penerapan dan pemerkasaan DNA UiTM kedalam jiwa mahasiswa agar usaha UiTM dalam melahirkan graduan yang serba boleh dan berkualiti dicapai.
Pelaksanaan modul ini bukan sahaja telah menanamkan semangat cintakan UiTM malahan turut berjaya menerapkan nilai nilai murni seperti usaha, taqwa, mulia dan kerjasama yang penting dalam memperkukuhkan semangat spiritual serta mendatangkan kefahaman mendalam kepada mahasiswa akan kepentingan DNA UiTM dalam melahirkan sebuah komuniti mahasiswa yang holistik serta berkualiti dalam memenuhi pasaran kerjaya dan realiti kehidupan kini.