Shah Alam, 16 Januari 2025 – Dewan Agong Tuanku Canselor (DATC), UiTM Shah Alam menyaksikan kejayaan manis pasukan usahawan siswa, Cornmunity daripada Igrobiz Enterprise, Fakulti Perladangan dan Agroteknologi, UiTM Cawangan Melaka, Kampus Jasin, yang mengharumkan nama universiti dengan meraih Naib Johan dalam Pertandingan Pitching Business Combat.
Pertandingan ini adalah sebahagian daripada Program Usahawan Muda (PUM) peringkat kebangsaan yang dianjurkan oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dengan kerjasama UiTM, Jabatan Pengajian Tinggi (JPT), dan Majlis Keusahawanan Mahasiswa Universiti-Universiti Malaysia (MAKMUM). Program ini bertujuan memupuk semangat keusahawanan, inovasi, dan daya saing dalam kalangan pelajar.
Pasukan Cornmunity berjaya mengatasi cabaran daripada 24 kumpulan lain, membuktikan keupayaan mereka dengan menempatkan diri dalam kelompok Top 3 Finalis. Mereka membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM10,000.00 serta trofi sebagai pengiktirafan terhadap idea dan inovasi perniagaan yang ditampilkan.
Naib Canselor UiTM, YBhg. Profesor Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin, dalam ucapan beliau semasa majlis penutupan, memuji kejayaan ini sebagai bukti komitmen UiTM dalam memupuk budaya keusahawanan di kalangan mahasiswa. Beliau turut menekankan bahawa program seperti ini bukan sahaja mencungkil kreativiti tetapi juga mengajarkan prinsip integriti dalam keusahawanan, aspek penting untuk membina kepercayaan pelanggan dan memastikan kelestarian perniagaan.
Penolong Naib Canselor Keusahawanan, YBrs. Dr Badrul Isal juga menyatakan, UiTM melalui Akademi Pembangunan PKS dan Keusahawanan Malaysia (MASMED) terus komited menyediakan platform seperti latihan keusahawan, inkubator perniagaan dan ruang kerja bersama untuk menyokong pembangunan keusahawanan pelajar. Program seperti ini diharap dapat diteruskan dan diperkasakan pada masa hadapan untuk melahirkan usahawan muda yang mampu memacu agenda keusahawanan Malaysia ke persada global.