Builder’s Amal: Sentuhan Kasih Bersama Rumah Anak Yatim dan Orang Miskin Nurul Iman, Ipoh

IPOH, 11 Januari 2025 – Persatuan Bangunan UiTM Cawangan Perak (BUILDERS) telah menganjurkan program amal “Builders’ Amal” di Pusat Jagaan Anak-anak Yatim & Miskin Nurul Iman, melibatkan 40 sukarelawan pelajar Diploma dan Ijazah Sarjana Muda, disertai 10 orang pensyarah dari Jabatan Pembinaan.

Sebelum program, diadakan kempen kutipan sumbangan selama dua minggu yang berjaya mengumpul pelbagai barang keperluan seperti barangan penjagaan diri, alatan sukan, pakaian, barang dapur, dan wang tunai. Inisiatif ini disokong oleh warga kampus dan komuniti setempat.

Program bermula jam 8 pagi dengan aktiviti gotong-royong termasuk mengecat, menata rias surau, membersihkan kawasan, dan membaiki kerosakan kecil. Sukarelawan turut menganjurkan aktiviti bersama anak-anak yatim seperti mewarna, badminton, explorace, dan permainan dalaman untuk mengeratkan hubungan.

Acara ditutup dengan sesi finger painting sebagai kenangan, penyerahan sumbangan wang RM1,500, plak penghargaan, dan hadiah kepada 20 orang anak yatim. Persatuan Bangunan berharap program ini dapat menjadi platform mengeratkan hubungan UiTM dengan komuniti dan menyemai sifat empati.

Program yang berlangsung dari jam 8 pagi hingga 2 petang ini diakhiri dengan sesi bergambar kenangan bersama anak-anak yatim.

Disediakan oleh: Farah Salwati Ibrahim, Mohd Najib Abd Rashid, Nur Adilah Aina Mohamad Adrus