Program “Empowering the Youth, Enriching the Community” Beri Kesedaran Kesihatan di IPG Ulu Kinta

IPOH, PERAK, 20 Januari 2025 – Program “Empowering the Youth, Enriching the Community” yang dianjurkan oleh pelajar Sarjana Muda Kejururawatan NHSN8A UiTM telah berjaya dilaksanakan di Dewan Seri Tanjung, Institut Pendidikan Guru (IPG) Ulu Kinta. Program ini bertujuan memberi pendedahan mengenai kepentingan penjagaan kesihatan mental dan fizikal kepada pelajar dan kakitangan IPG.

Enam booth utama diwujudkan meliputi saringan kesihatan fizikal, penjagaan kesihatan mata, pemeriksaan payudara dan kesihatan lelaki, saringan kesihatan mental, serta demonstrasi Pertolongan Cemas dan CPR. Program turut menerima sokongan tokoh penting termasuk YB Muhamad Arafat Bin Varisai Mahamad, Dr. Hamidah Binti Samsudin, dan beberapa pemimpin pendidikan lain.

Inisiatif ini merupakan usaha UiTM menyokong agenda kerajaan dalam memperkasa kesihatan masyarakat. Program selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG), khususnya SDG 3: Kesihatan yang Baik dan SDG 10: Mengurangkan Ketidaksamaan.

Menurut Haziman Hawali Bin Pakhru Razi, Pengarah Program, “Inisiatif ini bukan sekadar memberi manfaat, tetapi menyediakan platform untuk peserta lebih peka dan proaktif dalam menjaga kesihatan.”

Program berjaya mencapai matlamat meningkatkan kesedaran kesihatan dalam kalangan pelajar dan kakitangan IPG, dengan harapan dapat menjadi contoh untuk program kesihatan komuniti pada masa hadapan.