UiTM Terengganu Raikan Kecemerlangan Mahasiswa dalam Majlis Anugerah Bertemakan Batik

KUALA TERENGGANU, 31 Disember 2024 – UiTM Cawangan Terengganu Kampus Bukit Besi (UiTMCTBB) menganjurkan Majlis Anugerah Kecemerlangan Siswa 2024 di Raia Hotel Kuala Terengganu bagi meraikan kecemerlangan akademik dan kepimpinan mahasiswanya.

Seramai 131 mahasiswa dan barisan kepimpinan akademik berkumpul untuk mengiktiraf pencapaian luar biasa pelajar.

Majlis dirasmikan oleh Rektor UiTM Terengganu, Profesor Dr. Mazidah Puteh, yang menekankan kepentingan keseimbangan antara kecemerlangan akademik dan kokurikulum. Penolong Rektor UiTMCTBB, En. Mohd Shahrul Nizam Salleh dan wakil KETENGAH Bukit Besi, Encik Faizol bin Ab Aziz turut hadir. Encik Faizol menyerahkan Anugerah Emas KETENGAH kepada Muhammad Amir Firdaus bin Mohd Azrul atas pencapaian akademik dan kokurikulum tertinggi.

Majlis bertemakan ‘Batik’ menyaksikan hadirin mengenakan busana batik sebagai simbol keseimbangan antara tradisi dan kejayaan. Pelbagai anugerah disampaikan, termasuk Anugerah Dekan, Anugerah Pelajar Terbaik Program, Anugerah Pemimpin Terbaik, Anugerah Kepimpinan Sukarelawan, Anugerah Keusahawanan, dan Anugerah Atlet Sukan.

Majlis ini bertujuan menyuntik motivasi kepada pelajar agar terus berusaha dalam akademik dan kokurikulum. UiTM Cawangan Terengganu komited melahirkan graduan yang cemerlang, berdaya saing, dan bersedia menyumbang kepada masyarakat.

Penulis bersama :Talmizi Muda, Zulfadli Elias, Noraziera Mohamad, Northaqifah Hasna Mohamed Khir